SHAH ALAM - Malaysia perlu mempraktikkan budaya ketua kena bertanggungjawab terhadap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kumpulan atau syarikat diterajui olehnya.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, budaya itu kebiasaannya dilakukan di negara luar namun jarang berlaku di Malaysia.
Katanya, dengan mempraktikkan budaya tersebut, secara tidak langsung dapat menyampaikan mesej kepada orang awam bahawa rasuah bukan satu perkara yang biasa dan ia perlu dijauhi.
"Di Malaysia, orang yang lakukan rasuah, mereka tidak mempunyai rasa bersalah dan tidak ada rasa bertanggungjawab. Jadi perlu bawa satu budaya iaitu ketua kena bertanggungjawab.
"Kalau lihat di luar negara apabila berlaku jambatan runtuh, menteri kerja raya akan letak jawatan.
"Ini yang kita nak sampaikan supaya pemimpin-pemimpin, ketua jabatan, ketua SPRM, ketua polis dan menteri perlu bertanggungjawab supaya kita dapat sampaikan mesej kepada orang awam bahawa rasuah bukan perkara biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian program bual bicara bersama Datuk Seri Wong Chun Wai yang bertajuk 'Can MACC Probe Itself' yang diadakan secara dalam talian di Facebook Chun Wai pada Jumaat.
Hadir sama sebagai panel, peguam, David Gurupatham.
Dalam pada itu kata Hussamuddin, budaya rasuah jika tidak ditangani dengan segera ia akan menjadi parah seterusnya bertukar kritikal apabila melibatkan individu di peringkat atasan.
Justeru, beliau meminta semua rakyat Malaysia bangun bersama untuk tolak semua pemimpin atau mana-mana individu yang terlibat rasuah.
"Rakyat kena harus ada keberanian, lantang bersuara. Rakyat perlu bangkit benci rasuah. Jadi kena tolak dengan bersungguh sungguh tak boleh retorik,” katanya.