Lelaki ditahan simpan tujuh burung

Iklan
Antara burung-burung yang dirampas Jabatan Perhilitan Perak dalam Operasi Bersepadu Khazanah di sebuah rumah di Taman Klebang, Sungai Siput pada 3 September lalu.

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menahan seorang lelaki kerana menyimpan tujuh ekor burung tanpa sebarang dokumen sah.

Dalam satu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Kledang, Sungai Siput pada 3 September lalu, menemukan tiga ekor burung murai batu, dua ekor burung scarlet macaw, seekor burung Blue and Gold Macaw dan seekor hyacinth macaw.

Iklan
Iklan

Kesemua burung tersebut dirampas dalam operasi yang melibatkan 12 orang anggota Jabatan Perhilitan Perak bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia, hasil risikan awal mendapati lelaki berusia 32 tahun itu menjual burung-burung itu berdasarkan iklan-iklan yang telah disiarkan oleh pemilik di dalam Facebook miliknya.

Iklan

"Semasa tangkapan dibuat, beberapa bukti resit pembelian dari pembeli telah dijumpai di dalam telefon bimbit milik suspek. Dianggarkan seekor burung tersebut dijual dengan harga melebihi RM20,000.

"Suspek bagaimanapun tidak mengaku menjual burung-burung ini sebaliknya menjadi sebagai orang tengah menjual burung ini. Suspek juga mengaku mengambil upah untuk melatih burung menjadi jinak," katanya menerusi dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, kesemua burung yang dirampas adalah dilindungi di bawah Seksyen 60 (1) (a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] pindaan 2012 dengan nilai anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM100,000.

Sementara itu, Jabatan Perhilitan menegaskan pihaknya sangat serius dan komited dalam usaha memulihara khazanah biodiversiti negara dan membasmi jenayah hidupan liar ini.

Menurutnya, banyak operasi bersepadu dilaksanakan sepanjang tahun melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan di Malaysia dan ia tidak pernah berhenti.

"Setiap aktiviti-aktiviti jenayah hidupan liar dan sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan enakmen-enakmen taman negara yang digunapakai tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.

"Selain itu, jabatan juga berusaha meminda Akta 716 dengan hukuman yang lebih berat kepada penjenayah hidupan liar ini. Jabatan Perhilitan menyeru semua pihak berganding bahu memperhebatkan usaha dalam membanteras jenayah hidupan liar," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya memaklumkan sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.