GEORGETOWN - Seorang lelaki berusia 60 tahun adalah pesakit Covid-19 pertama yang dipindahkan ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pulau Pinang bagi mendapat rawatan lanjut.
Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan, Leftenan Kolonel Dr Mohd Zamri Derahman berkata, hospital medan di Hospital Pulau Pinang (HPP) itu mula beroperasi sepenuhnya pada jam 9 malam Jumaat.
Menurutnya, operasi hospital medan itu berjalan lancar seperti ditetapkan yang mana kemasukan pesakit akan dibuat secara berperingkat.
"Pesakit pertama yang ditempatkan di situ berusia 60 tahun dan dia adalah pesakit peringkat empat.
"Jumlah pesakit untuk dimasukkan ke hospital medan ini akan ditentukan oleh pihak HPP dan akan diadakan secara berperingkat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Pada Khamis, hospital medan yang dibina oleh ATM bagi fasiliti tambahan perawatan pesakit Covid-19 di HPP telah memulakan sesi 'dry run'.
Sebelum itu, kerja pembinaan telah bermula pada jam 9.30 pagi pada Khamis minggu lalu di tapak parkir HPP di Jalan Residensi di sini dengan keluasan 2,300 meter persegi.
Dr Zamri berkata, sebanyak 100 katil yang dilengkapi sumber oksigen ditempatkan di hospital tersebut iaitu empat buah untuk unit rawatan rapi (ICU) dan bakinya untuk pesakit tahap empat.
"Kita menggunakan empat pegawai dan 50 anggota untuk membina hospital medan merangkumi 23 buah khemah di sini. Bagi pengoperasian pula, ia melibatkan 309 petugas KKM, dua pegawai serta 22 anggota ATM.
"ATM akan terlibat dengan kerja-kerja teknikal, keselamatan, pentadbiran dan perawatan di hospital medan. Hospital ini adalah khas untuk pesakit Covid-19 peringkat empat dan lima," katanya.
Hospital medan di HPP ini adalah yang kesembilan dibina oleh ATM yang mana sebelum ini dibina di Hospital Kepala Batas di Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor, Labuan dan Tawau.
Dua minggu lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pembukaan wad ICU hospital medan di HPP bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, lebih 100 buah katil tambahan dengan kemudahan oksigen akan dibekalkan di hospital itu untuk menampung pesakit yang akan ditempatkan di situ nanti.
Hospital medan di HPP merupakan hospital medan ATM yang kedua di negeri ini selepas ia dibuka di Hospital Kepala Batas pada Mei lalu.