TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Seorang kelindan maut selepas lori dinaikinya terbabas di Kilometer (KM) 96.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Karak ke Lanchang pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, mangsa, Muhammad Alif Roslan, 23, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori yang berusia 38 mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak, Penolong Penguasa Bomba, Suhairul Ibrahim berkata, seramai empat anggota dan seorang pegawai bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat.
Menurutnya, kejadian itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu yang terbabas dan terbalik di bahu jalan.
"Seorang mangsa lelaki dewasa telah dikeluarkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan ringan, manakala kelindan lori itu tersepit di tempat duduk penumpang dan tidak sedarkan diri.
"Anggota bomba mengambil masa kira-kira tiga minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan pemotong penyelamat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lanchang.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.