Rumah inspirasi filem 'The Conjuring' dijual harga AS$1.2 juta

Iklan
Filem The Conjuring bagaimanapun tidak menjalani penggambaran di rumah itu, namun dibikin berdasarkan pengalaman keluarga Perron yang pernah mendiami rumah berkenaan pada tahun 1970-an. - YouTubeJake The Viking

TIDAK takut pada hantu atau apa saja entiti yang boleh menyergah depan mata pada waktu malam gelap?

Sebuah rumah ladang yang dikatakan berhantu di Rhode Island, Amerika Syarikat (AS), dengan kisah kejadian seramnya menjadi inspirasi pembikinan filem The Conjuring pada tahun 2013, sudah memasuki pasaran jualan hartanah pada Khamis, lapor AP.

Iklan
Iklan

Rumah 14 bilik dan berkeluasan 3,100 kaki persegi itu disenaraikan pada harga AS$1.2 juta (RM5.03 juta).

Syarikat hartanah juga memperkenalkan rumah yang terletak di atas bidang tanah seluas 3.5 hektar di Burrillville itu sebagai ‘salah sebuah rumah berhantu yang paling dikenali di seluruh AS’.

Iklan

"Kisah legenda menyatakan, rumah itu dihantui entiti bernama Bathsheba Sherman, yang pernah menghuni rumah itu sekitar tahun 1800-an. Sehingga ke hari ini, banyak kejadian yang telah dilaporkan di dalam rumah itu,” ujar syrikat berkenaan.

Di AS, adalah normal bagi sesetengah syarikat jualan hartanah untuk mendedahkan jika kediaman yang hendak dijual itu mempunyai kisah mengerikan atau berhantu. Pendedahan itu menarik golongan pembeli tertentu yang menyukai kisah sejarah yang pelbagai, dan juga mereka yang menganggap hal paranormal bukan suatu masalah.

Iklan

Filem The Conjuring bagaimanapun tidak menjalani penggambaran di rumah itu, namun dibikin berdasarkan pengalaman keluarga Perron yang pernah mendiami rumah berkenaan pada tahun 1970-an.

Kali akhir, rumah itu dijual pada tahun 2019 pada harga AS$439,000 kepada sebuah keluarga yang melabelkan diri mereka sebagai penyiasat paranormal. Mereka malah menganjurkan acara, dan menyewakan bilik untuk tetamu yang berharap menerima kejutan ‘dihantui’.

Sebelum itu, pemiliknya tidak pernah mengadu tentang kehadiran ‘hantu’, namun sebaliknya mengeluh apabila peminat filem tersebut kerap menceroboh kawasannya tidak kira waktu. - Awani