HULU TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan harga kit ujian kendiri Covid-19 akan lebih murah menjelang akhir bulan ini supaya mampu dimiliki oleh semua golongan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, harga baharu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan antara pembekal dan peniaga.
Menurut beliau, walaupun penurunan harga belum muktamad namun jumlahnya lebih murah terutama bagi keluarga yang ada ramai anak bersekolah.
"Jika ada anak lima, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100. Oleh itu harga baharu membolehkan mereka melakukan ujian bagi memastikan anak sihat sebelum kembali ke sekolah," katanya selepas meninjau proses vaksinasi 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong di sini pada Sabtu.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa 5 September menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kit berkenaan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.
Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kerajaan juga akan memperluaskan penjualan kit ujian kendiri Covid-19 ke premis perniagaan seperti pasar raya besar dan pasar mini yang berdaftar dengan KPDNHEP.
Beliau berkata, usaha itu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan kit itu terutama menjelang pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober depan.