Pesawah rugi, 600 hektar padi terjejas akibat cuaca buruk

Iklan
Pesawah melihat keadaan padi di kawasan Kurung Tengar dan Simpang Empat yang terjejas akibat angin kuat dan hujan.

KUALA PERLIS - Lebih 600 hektar sawah padi yang diusahakan petani sejak empat bulan lalu ditenggelami air akibat angin kuat serta hujan berterusan dalam tempoh dua minggu.

Antara yang terjejas teruk melibatkan kawasan berhampiran pesisir pantai Kuala Perlis, Kurung Tengar, Sungai Berembang dan Simpang Empat.

Iklan
Iklan

Petani, Sukardi Mat Dali berkata, masalah berkenaan menyebabkan kerugian apabila hanya mampu memperoleh hasil tuaian kira-kira RM1,200 bagi setiap keluasan 0.28 hektar tanaman padi.

"Kami sepatutnya memperoleh lebih 2.2 tan tuaian padi yang bernilai lebih RM2,500 bagi keluasan sama tetapi hasil merosot berikutan cuaca buruk.

Iklan

"Hasil padi diperoleh juga dikhuatiri tidak berkualiti kerana masalah kelewatan bekalan padi benih," katanya pada Sabtu.

Sukardi berkata, bekalan padi benih diharap diterima mengikut jadual ditetapkan supaya perkara itu tidak berlanjutan.

Iklan

Pengerusi Suara Tani Perlis, Mohd Noor Hashim memberitahu, petani sepatutnya menuai hasil padi yang ditanam pada Sabtu namun tidak kesampaian selepas tanaman dibadai angin kuat dan hujan berterusan.

Jelasnya, masalah padi tidak sempat dituai bukan disebabkan jadual penanaman sebaliknya berpunca daripada kelewatan bekalan padi benih.

"Jadi, petani terpaksa menangguhkan proses penanaman padi yang menyebabkan proses tuaian bertembung dengan musim angin dan hujan yang kebiasaannya melanda negara pada September," katanya.

Justeru, beliau berharap pihak terbabit dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani kelewatan padi benih pada musim hadapan.

Mohd Noor berkata, penanaman padi musim 2/2021 sepatutnya bermula awal bulan ini namun ketika ini masih banyak padi yang belum dituai.

Sementara itu, Exco Pertanian Perlis, Nurulhisham Yaacob meminta petani terlibat membuat laporan polis dan menghantar salinannya kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).