SERI KEMBANGAN - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) komited mempelbagaikan teknik penghasilan batik agar pemain industri dapat menyediakan produk batik pada harga berpatutan.
Ketua Pengarah Kraftangan, Ibrahim Ismail berkata, pihaknya telah mengatur banyak program termasuk penyelidikan untuk mempelbagaikan penggunaan batik dalam industri bagi mencapai matlamat tersebut.
"Batik ini isunya sekarang adalah dari segi harga. Bagaimana kita boleh jadikan harga batik ini lebih berpatutan.
"Jadi Kraftangan melakukan banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk material, dan teknik dipelbagaikan kerana yang popular kini ada tiga teknik penghasilan batik (teknik canting, celup dan cop). Lagi sukar teknik itu lagi mahal harga batik tersebut.
"Jadi dengan ada banyak teknik, harga batik dapat dikurangkan dan kebelakangan ini juga kita lihat di hari Kraft Kebangsaan misalnya, kita boleh dapat produk batik pada harga di bawah RM100 dan RM200 untuk pakaian wanita termasuk pakaian sedia dipakai,” katanya ketika ditemui di Wisma Penyayang pada majlis Sidang Media Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2019, hari ini.
Pada majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Suryani Senja Alias yang juga membacakan teks ucapan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan turut dihadiri Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Mohd Ali.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, penyelidikan dan eksperimentasi dalam bidang batik perlu dijalankan secara terus-menerus ke arah pemasaran produk-produk yang unik, terutama bagi melonjakkan lagi industri pelancongan.
Sementara itu, bercakap mengenai pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2019, Leela berkata, tahun ini, pihaknya menyasarkan jumlah penyertaan sebanyak 110 peserta.
"Ia terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk menyertai pertandingan Piala Seri Endon untuk kali ke-16 ini anjuran Yayasan Budi Penyayang yang akan menyaksikan tiga kategori dipertandingkan.
"Iaitu kategori fesyen, kemasan lembut dan kraftangan di mana masing-masing menyediakan hadiah utama bernilai RM30,000, katanya.
Menurutnya, peserta akan melalui beberapa pusingan bermula 16 April ini untuk penghantaran pusingan pertama sebelum dipilih untuk pusingan akhir yang juga akan diumumkan pemenang ketiga-tiga kategori pada 8 September 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Untuk keterangan lanjut mengenai piala tersebut atau permohonan penyertaan boleh ke laman web: www.penyayang.org.my.