PADANG BESAR - [DIKEMAS KINI] - Liputan rangkaian generasi keempat (4G) di seluruh negara kini mencapai 94.03 peratus, selari dengan sasaran liputan 96.9 peratus menjelang akhir 2022 di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilancar tahun lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, negara dijangka mampu mencapai liputan penuh 4G dalam masa dua tahun lagi berikutan usaha yang giat dilakukan oleh kerajaan bersama agensi berkaitan.
"Apabila semua kawasan telah mencapai 4G, kita akan usaha menaik taraf liputan kepada rangkaian generasi kelima (5G) pula,” katanya ketika menghadiri Program Komuniti Keluarga Malaysia di Masjid Othmaniah, di sini hari ini.
Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, pelbagai isu terpaksa dihadapi dalam usaha meningkatkan kesalinghubungan seperti pembinaan menara pemancar yang melibatkan banyak proses dan memakan masa termasuk membabitkan perbincangan dengan pemilik serta kerajaan negeri, namun perkara ini akan diselesaikan.
"Kita harap rakyat bersabar dan memberi sedikit masa kepada kerajaan untuk berusaha meningkatkan capaian internet khususnya di kawasan luar bandar,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpengaruh atau menyebarkan berita palsu demi kebaikan semua.
Sementara itu, mengenai liputan rangkaian 3G di seluruh negara, Zahidi berkata, ia akan ditutup secara berperingkat pada akhir tahun ini.
"Yang akan tinggal hanya rangkaian 4G yang akan dipertingkat dan 2G ini penting untuk kegunaan telefon,” katanya kepada Bernama ketika membuat lawatan kerja ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan 5G di Perlis oleh Digital Nasional Berhad (DNB) akan bermula pada 2023 hingga 2026 melibatkan 59 lokasi. - Bernama