PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memastikan kebajikan keluarga serta bayi berusia tujuh bulan yang cedera selepas kepalanya dihempas oleh pengasuh dalam insiden di Ipoh, Perak terbela.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau telah mengarahkan KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil intervensi bersesuaian terhadap keluarga dan bayi tersebut.
"Saya amat kesal dengan insiden yang berlaku dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengasuh disyaki hempas bayi ke lantai ditahan
Pada Jumaat, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, seorang pengasuh wanita berumur 22 tahun ditahan berhubung cubaan bunuh selepas dipercayai menghempas bayi berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan, Ipoh.
Rina berkata, kes penganiayaan terhadap bayi kerap menjadi isu hangat di media dan jenayah tersebut wajar diberi tumpuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar pelaku dihadapkan ke muka pengadilan dengan segera bersandarkan bukti yang diperoleh.
Beliau berkata, insiden seumpama itu boleh menggugat keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke rumah pengasuh mahupun pusat penjagaan, tambahan lagi ketika sektor pekerjaan sudah mula dibuka secara berfasa.
"Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga. Insiden ini turut memberi impak buruk kepada pengasuh-pengasuh lain yang selama ini memberi perhatian yang baik terhadap aspek pengasuhan serta kebajikan bayi,” katanya.
Rina turut menasihatkan ibu bapa agar mendapatkan khidmat pengasuhan yang berdaftar dengan JKM bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak mereka.
Maklumat berkaitan pengasuh dan taska berdaftar boleh didapati di laman web www.jkm.gov.my. - Bernama