SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kejayaan Maryam Muzamir, 11, memenangi tiga pingat emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta yang berlangsung di Toronto, Kanada pada Ogos lalu mendapat perhatian pengacara hos terkenal antarabangsa, James Corden.
James berkata, inovasi Maryam dalam mencipta sejenis makanan haiwan baharu yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut sangat membanggakan.
"Anda mungkin pernah mendengar tentang gadis ini (Maryam). Ia sangat luar biasa.
"Maryam Muzamir adalah pelajar sekolah berusia 11 tahun di Malaysia.
"Dia menggunakan sisa makanan biasa, kerang makanan laut lalu mengolahnya menjadi makanan ternakan yang baharu,” katanya dalam video di ciapan Twitternya pada Khamis.
Ciapan tersebut turut dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Pada Ogos, Maryam, pelajar Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila merangkul tiga pingat emas dalam pertandingan sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021.
ICAN 2021 adalah pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara yang diadakan secara dalam talian pada 28 Ogos lalu berikutan faktor pandemik Covid-19.