JOHOR BAHRU - Cadangan Kementerian Pertahanan mendapatkan pandangan China terhadap pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS, tidak bermakna kerajaan menerima arahan kuasa besar itu.
Sebaliknya, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, cadangan mendapatkan pandangan China itu adalah supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain boleh ambil tindakan proaktif.
"Takkanlah kementerian disalahkan apabila kita nak jumpa China dapatkan maklum balas dan apa tindakan republik itu terhadap AUKUS.
"Malaysia baik dengan dua-dua pihak, China ataupun Amerika Syarikat, saling menghormati. Tidak ada yang boleh laga-lagakan hubungan baik negara dengan kedua-dua kuasa besar itu.
"Namun, kemesraan kita itu tidak bermakna kita akan berkompromi terhadap kedaulatan negara kita," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram di sini pada Sabtu.
Pada Rabu, Hishammuddin dilaporkan memaklumkan Malaysia akan mendapatkan pandangan China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung isu pembentukan AUKUS.
Hishammuddin dilaporkan berkata, pihaknya bercadang untuk melakukan lawatan kerja ke negara republik itu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan.
Pada Sabtu, Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH) dilaporkan mendakwa bahawa cadangan Malaysia mendapatkan pandangan China itu, sebagai menerima arahan daripada kuasa besar itu.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menafikan dakwaan pembangkang itu dan apa yang dilakukan bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan republik itu.
Sementara itu, Hishammuddin turut menafikan dakwaan kerajaan akan memansuhkan 'MyTravel Pass' dalam masa terdekat seperti yang dilaporkan sebuah portal berita dan perkara itu tidak benar.
Jelas beliau, pada waktu ini tumpuan kerajaan adalah untuk kebenaran rentas negeri.
"Bagaimana kita nak fikirkan rentas negara, apabila rentas negeri pun belum kita putuskan, namun saya tidak menafikan bahawa perancangan untuk melihat 'MyTravel Pass' serta pendekatan lebih baik untuk rentas negara sudah difikirkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Insya-ALLAH, kita akan bentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Endemik yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, minggu depan, bagi memperincikan SOP rentas negeri dan negara," katanya.