Sedia tambah polis di Pulau Tioman, Genting Highlands

Iklan
Ramli Mohamed Yoosuf. Foto Bernama

KUANTAN - Polis Pahang sedia menambah penugasan anggotanya di Pulau Tioman dan Genting Highlands bagi memantau aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila destinasi itu mula dibuka kepada pelancong Oktober ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sedang mengkaji dan akan mencontohi 'pengalaman serta amalan' polis di Pulau Langkawi, Kedah, yang sudah menerima kehadiran pelancong bermula 16 September lepas.

Iklan
Iklan

"Kita sedang lihat dan mungkin ada pengajaran di sana (Pulau Langkawi) yang boleh kita sesuaikan dengan keadaan di Pulau Tioman dan Genting Highlands, selain ada perancangan menggunakan dron bergantung kepada kesesuaian.

"Pemantauan ketat bukan hanya di destinasi gelembung pelancongan, bahkan kawasan tumpuan ramai lain kerana Pahang sudah memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermakna tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) antara daerah," katanya selepas meninjau pematuhan SOP di pantai Teluk Cempedak dan pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Sabtu.

Iklan

Pada Selasa lepas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan Pulau Tioman dan Genting Highlands antara tiga destinasi baharu akan dibuka kepada pelancong menerusi gelembung pelancongan negara pada 1 Oktober ini.

Ramli berkata, dalam keterujaan menerima semula kehadiran pengunjung, pengusaha pelancongan turut dinasihatkan tidak mengabaikan aspek pematuhan seperti disyaratkan supaya tidak berlaku penularan Covid-19.

Iklan

Beliau juga tidak menolak kemungkinan mencadangkan sistem giliran di lokasi tumpuan bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan penjarakan sosial, seperti dilakukan sebelum ini di Teluk Cempedak.

Sementara itu, mengulas kesesakan yang berlaku di PPV itu pada sebelah pagi tadi sehingga tular di media sosial, beliau berkata, ia berlaku disebabkan orang ramai keluar serentak susulan pemberian vaksin kepada remaja bersekolah luar Pahang secara jumpa terus bermula hari ini.

Bagaimanapun, katanya kesesakan dapat diselesaikan menerusi tindakan pihak penguat kuasa serta kerjasama ibu bapa dan berharap mereka yang mahu mendapatkan suntikan secara tanpa janji temu di PPV itu sehingga esok terus mematuhi SOP ditetapkan. - Bernama