SETELAH 64 tahun negara menyambut kemerdekaan, bagaimana wajah sastera kita?
Masihkah terbelenggu dengan isu wanita yang menjadi mangsa penindasan, masyarakat yang dihimpit kemiskinan dan kisah berantakan dalam rumah tangga sebagaimana era penjajah?
Rata-rata kisah yang dibentang dalam novel pada era 1930-an dan 1940-an berlegar tentang isu-isu tersebut.
Kisah persahabatan, hubungan kekeluargaan dan konflik alam rumah tangga banyak dituang dalam pengkaryaan.
Berbanding selepas negara mencapai kemerdekaan, kisah yang diungkap pengarang mewakili banyak dimensi kehidupan.
Persoalan tentang agama, ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial mula diberikan perhatian oleh pengarang.
Antara novel yang terserlah adalah Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah yang telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen baharu-baharu ini.
Sebuah novel malar segar (evergreen) lantaran kisah tentang sosok yang bernama"ayah” merupakan persoalan kemanusiaan sejagat.
Dengan ungkapan tajuk yang sangat signifikan dengan kehidupan masyarakat, novel Ayahanda wajar dimiliki, dihadam dan difahami pembaca.
Novel ini memperihalkan keperibadian seorang ayah yang sarat dengan nilai kasih sayang walaupun tidak diperaga secara tersurat.
Watak ayah digembleng dengan perwatakan yang sukar dimengertikan oleh generasi muda tentang selok-belok nurani warga tua, namun unsur pengajarannya jelas mendidik khalayak dengan nilai keagamaan yang tinggi.
Setelah diadaptasi menjadi sebuah drama, novel ini dapat meruntun perasaan ramai penonton sementelah tatkala musim pandemik yang menyebabkan orang ramai terkurung di rumah.
Hidangan drama bersiri Ayahanda telah membawa masyarakat mulai menghargai makna sesebuah ikatan kekeluargaan dengan lebih akrab.
Lantaran sebelum ini masyarakat terlalu dimomokkan dengan rantaian drama televisyen yang diadaptasi daripada novel popular yang sangat menjengkelkan.
Elemen hedonisme yang dijejerkan dalam novel popular seterusnya diadaptasi menjadi drama televisyen begitu membimbangkan apabila ditonton oleh anak-anak.
Tajuk novel yang menjadi drama kebanyakannya mempamerkan kerancuan bahasa yang begitu ketara.
Wajah sastera yang indah dengan gaya bahasa yang menawan hilang angkara tajuk novel seperti Love You Mr. Arrogant, Rindu Awak 200%, Suri Hati Mr. Pilot, Cinta Si Wedding Planner, Kampung Girl, Bukan Cinta Monyet, Playboy Itu Suami Aku?, Yes, Boss Raya, Projek Memikat Suami dan lain-lain yang menampilkan kepunahan bahasa dan sastera Melayu tanah air.
Kesemua novel terbabit telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen yang ditonton dengan keghairahan masyarakat.
Cintai khazanah bahasa
Berbanding dengan drama Ayahanda yang menawarkan tajuk yang berhemah dan berhikmah sejajar dengan judul novelnya yang digarap oleh salah seorang Pemenang SEA Write Award negara. Ungkapan dialog yang ditutur pelakon disaring terlebih dahulu telah menyuntik semangat penonton khasnya anak muda untuk mencintai khazanah bahasa dan sastera Melayu.
Kemasukan dialek utara turut memberikan penanda bahawa tanah air sarat dengan nilai sejarah dan falsafah yang dapat membangun tamadun dan peradaban bangsa.
Generasi muda wajar diberikan pendedahan tentang rumpun leluhur nenek moyang yang kini kian terpinggir lantaran kerakusan teknologi dan modenisasi.
Petikan kata-kata nasihat, pujangga, terjemahan ayat al-Quran dan hadis yang dikemukakan dalam tulisan jawi di setiap pengakhiran episod drama Ayahanda turut merakamkan keindahan warisan bangsa yang harus dipertahankan.
Malahan tajuk drama Ayahanda yang turut menyerlahkan tulisan Jawi telah menumbuhkan kesedaran kepada penonton tentang keistimewaan keindahan warisan Melayu nusantara yang tidak dimiliki Barat.
Drama ini turut memancing penonton dengan babak yang mengasyikkan di sebuah perkampungan yang sarat dengan nilai tradisi Melayu.
Latar tempat Kedah yang kaya dengan sawah padi dibangunkan pengarang dalam novel Ayahanda jelas menunjukkan tanah air kaya dengan panorama yang mempesona.
Unsur alam yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Melayu tanah air telah disuguhkan dengan menarik dalam novel seterusnya drama yang telah diadaptasi.
Drama ini mengajak penonton untuk menghargai institusi kekeluargaan secara hemah dan hikmah kasih sayang.
Hubungan antara manusia dengan Tuhan (habl min Allah), hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas) dan hubungan manusia dengan alam (habl min al-alam) jelas dikesani dalam novel dan drama ini.
Nilai keagamaan terpancar dalam setiap babak dan episod yang mengajak pembaca dan penonton bermuhasabah.
Mendidik nurani
Sekalung tahniah untuk penulis novel, Allahyarham Azizi Haji Abdullah, penulis skrip drama, Maizura Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan, penerbit novel Dewan Bahasa dan Pustaka seterusnya produksi televisyen dan TV3 Berhad.
Ayahanda telah memberi peluang warga Malaysia menyaksikan hidangan yang bukan sahaja dapat mengasuh peribadi mulia bahkan dapat mendidik nurani untuk menyantuni warga tua dengan sebaik-baik budi dan bahasa.
Sementelah"Ayahanda” juga sesuai untuk tontonan lapisan masyarakat yang mempertaruhkan perutusan yang sangat bermakna selain bauran perasaan yang meruntun jiwa.
Kala rakyat resah gelisah berdepan dengan corona yang masih mengganas, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan dan percakaran politik yang merusuhkan, Ayahanda bertandang merawat segala kegalauan itu.
Setelah 64 tahun negara menyambut kemerdekaan, ternyata wajah karya sastera tanah air masih dapat menyumbang makna yang besar kepada masyarakatnya.
Malaysia memiliki deretan karya sastera dengan judul dan gaya bahasa yang indah untuk dijadikan hidangan kepada khalayak.
Misalnya novel Delima Ranting Senja (Siti Zainon Ismail), Sudara (Arena Wati), Tunggul-Tunggul Gerigis (Shahnon Ahmad), Angin Timur Laut (S. Othman Kelantan), Pujangga Melayu (Mohd Affandi Hassan), Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani), Dinihari (SM Noor), Warisnya Kalbu (Sri Rahayu Mohd Yusop) dan banyak lagi bersiap siaga menanti para penulis skrip drama untuk dibawa ke skrin layar televisyen.
Lambakan karya sastera popular wajar digantikan dengan wajah sastera Melayu yang lebih bermakna untuk kesempurnaan sahsiah anak bangsa.
Dibimbangi generasi muda sudah tidak mengenali budaya bangsa dengan bahasa yang indah dan berseni.
Barangkali ungkapan Tenas Effendy dalam buku"Kesantunan Melayu” (2001) ini perlu dijadikan renungan:"berbuah kayu rindang daunnya,-bertuah Melayu terbilang santunnya, elok kayu karena daunnya-elok Melayu karena santunnya”.
Ayuh, bebaskan diri daripada belenggu penjajahan dengan wangian merdeka karya sastera yang berhemah, dan berhikmah menjulang angkasa!
* Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia