PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) bangga dengan pencapaian pasukan Kelantan FC yang mara ke saingan Piala Malaysia musim ini.
Menurut Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, KAFA mengucapkan tahniah kepada seluruh organisasi skuad Kelantan FC apabila layak ke saingan berprestij bola sepak negara tersebut.
Iklan
Iklan
"Musim lalu kita terlepas peluang ini apabila pasukan menghadapi pelbagai masalah. Dan sinar semakin bersinar sejak diswastakan dan diambil alih oleh ahli perniagaan terkenal saudara Norizam Tukiman atau Zamburger.
"Sudah tentu ia menjadi harapan rakyat Kelantan yang ingin melihat pasukan kesayangan bersaing dalam Piala Malaysia, setidak-tidaknya dapat ke separuh akhir.
"Sudah lama mereka penyokong dahagakan saat seperti itu. Sama-sama kita doakan.
"Kita KAFA sentiasa bekerjasama rapat dengan TRW Kelantan FC agar memudahkan segala perancangan demi kejayaan pasukan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada saingan Piala Malaysia kali ini, Kelantan FC diundi dalam Kumpulan D bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Petaling Jaya City FC dan Sabah FC.