Sertai larian sambil beramal

Iklan
Golongan kanak-kanak menyertai acara simbolik bagi MICF Virtual Run berlangsung sempena Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia kali ke- 6 di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

KUALA LUMPUR - Bukan hanya dapat menyertai larian dengan jarak lima kilometer dan diberi masa menghabiskan larian sehingga 15 Januari tahun depan, peserta juga dapat beramal apabila sebahagian yuran penyertaan akan disalurkan ke tabung kebajikan untuk bantuan pendidikan.

Konsep acara larian berkenaan digunakan bagi Program Malaysia Islamic Children's Fair (MICF) Virtual Run yang bermula pada 16 November lalu bagi menarik penglibatan seramai mungkin peserta dari seluruh Malaysia untuk tujuan riadah dan kebajikan.

Iklan
Iklan

Pengerusi MICF, Dayang Lily Maznah Abang Muas, berkata, penyertaan itu terbuka kepada segenap lapisan masyarakat dan boleh dijadikan sebagai sebahagian aktiviti riadah keluarga bersama anak-anak.

Menurutnya, yuran sebanyak RM39 dikenakan bagi individu namun pakej yuran RM100 bagi tiga orang juga diperkenalkan sebagai galakan kepada golongan berkeluarga.

Iklan

"Kita boleh lihat sekarang ini menjadi trend masyarakat menyertai acara-acara larian namun bagi keluarga yang mempunyai anak-anak masih kecil, mungkin agak sukar untuk menyertai acara yang dibuat pada awal pagi.

"Jadi apa yang diketengahkan dengan penyertaan MICF Virtual Run ini, peserta boleh menetapkan waktu larian sendiri tidak kira berapa lama, dan di mana berdasarkan aplikasi larian.

Iklan

"Ia boleh dibuat secara berperingkat asalkan sehingga tempoh diberikan itu para peserta sudah menghabiskan larian sejauh lima kilometer.

"Mereka boleh menghantar 'screen shot' aplikasi yang digunakan bagi menuntut pemberian medal larian," katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Simbolik MICF Virtual Run di Masjid Wilayah Persekutuan, sempena Pesta Kanak-Kanak Islam Malaysia ke-6, di sini hari ini.

Jelas beliau, RM5 bagi setiap penyertaan akan disalurkan kepada Pertubuhan Kemajuan Kanak-Kanak Zurriyat Malaysia untuk tabung pendidikan anak-anak penghuni projek perumahan rakyat (PPR) yang memerlukan.

"Pendaftaran masih dibuka sehingga 15 Disember ini dan orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook MICF Virtual Run," katanya.