SHAH ALAM - Kelonggaran untuk membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri semakin menunjukkan perkembangan positif apabila kadar vaksinasi remaja hampir mencecah 83 peratus pada Sabtu.
Semestinya, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) tersebut membuatkan ramai di antara rakyat Malaysia di pelbagai peringkat terutama golongan muda menanti-nantikan pengumuman tersebut.
Ini kerana, sudah hampir 10 bulan mereka yang bekerja di negeri lain tidak dapat pulang ke kampung untuk melawat keluarga tercinta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu berkata, selain rentas negeri, pembukaan pusat pelancongan, pulau atau kawasan pelancongan akan dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.
Jelasnya, keputusan itu akan dibuat berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan, kebenaran untuk rentas negeri dijangka dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi.
jelasnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan sasaran 90 peratus penduduk divakasinasi dalam tempoh tersebut tercapai.
Penurunan kes harian juga telah menunjukkan perkembangan positif dan ia semestinya akan membolehkan kebenaran rentas negeri dilaksanakan.
Pada 25 September, kes baharu Covid-19 mencatatkan penurunan dengan 13,899 kes berbanding 14,554 kes pada Jumaat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara kini 2,185,131 kes.
Sementara itu, penggunaan katil bukan unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di seluruh negara setakat jam lima petang Jumaat berada pada kadar 60 peratus manakala ICU pula, beliau memaklumkan, kadar penggunaannya adalah sebanyak 70 peratus.
Bagi kadar vaksinasi keseluruhan rakyat Malaysia pula, 59.2 peratus adalah jumlah bagi vaksinasi lengkap dengan individu yang baharu mendapat satu dos vaksin sebanyak 69.2 peratus.
Diharapkan apabila kebenaran rentas negeri diberikan, rakyat Malaysia masih mengamalkan SOP dan sentiasa mengambil langkah pencegahan agar keluarga tersayang berada dalam keadaan yang selamat.