Dua beradik sesat di Bukit H

Iklan
Pasukan bomba menemui dua beradik itu yang sesat kira-kira dua jam.

SUNGAI PETANI- Dua beradik perempuan dilaporkan sesat kira-kira dua jam ketika mendaki Bukit Hash atau dikenali sebagai Bukit H di sini ditemui selamat pada jam 8.38 malam Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba, Muhamad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari talian MERS 999 pada jam 7.51 petang memaklumkan kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan maklumat, kedua-dua beradik berusia 18 dan 22 tahun dari Taman Arked itu dilaporkan sesat setelah mendaki Bukit H serta gagal untuk turun.

Mangsa yang berjaya ditemui dibantu pasukan bomba turun ke kaki bukit dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pada awalnya, mereka dikatakan telah mendaki namun gagal turun dan sesat hampir dua jam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurut Muhamad Syukri, pencarian dimulakan di sekitar kawasan pendakian dan kedua-dua beradik itu akhirnya ditemui pada jam 8.38 malam.

"Kedua-duanya ditemui dalam keadaan lesu serta tidak bermaya kemungkinan keletihan kerana penat akibat tidak jumpa laluan trek yang sama dilalui ketika mendaki," katanya.

Iklan

Operasi yang melibatkan 13 anggota bomba termasuk pegawai itu tamat pada jam 9.33 malam setelah mangsa berjaya dibawa turun ke kaki bukit menggunakan laluan yang betul dengan diiringi pasukan keselamatan.

Kedua-dua beradik itu bagaimanapun dibenarkan pulang setelah dipastikan berada dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bukit H yang boleh didaki melalui Taman Semarak, Sungai Petani atau Taman Seri Jenaris, Tikam Batu mempunyai ketinggian 207.4 meter sering menjadi tumpuan penduduk tempatan menjalankan aktiviti rekreasi dan sukan lasak.