PBB perlu senada tamat keganasan dunia: PM

Iklan
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR- Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu senada dalam usaha menghentikan keganasan di seluruh pelusuk dunia, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulungnya selaku Perdana Menteri pada Debat Umum Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York hari ini, menerusi rakaman video.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri berkata, adalah malang bagi dunia ini kerana masih jauh daripada usaha merealisasikan impian gencatan senjata global ekoran banyak lagi tempat masih tidak stabil.

"Malaysia akan terus melakukan apa yang terdaya dalam memupuk keamanan dan mencegah konflik menerusi dasar luarnya.

Iklan

"Sehubungan itu, Malaysia turut mengukuhkan komitmennya terhadap keamanan, keselamatan dan kemakmuran global dengan terus menerajui usaha mengeluarkan Kenyataan Bersama mengenai gencatan senjata global pada Jun tahun ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia sentiasa mengambil pendirian teguh terhadap sebarang usaha dan inisiatif bagi kewujudan bersama secara aman antara negara-negara dunia, hidup harmoni berbilang kaum, kepercayaan dan agama.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai gencatan global serta konflik di Myanmar sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam pada 1 Februari lalu, beliau berkata, Malaysia bimbang dengan keadaan yang berlaku di sana.

"Malaysia bimbang terutamanya mengenai situasi kemanusiaan di sana, kini diburukkan lagi dengan sistem penjagaan kesihatan Myanmar yang bergelut dengan pandemik Covid-19.

"Amat penting supaya bantuan dapat sampai kepada mereka yang memerlukan,” kata Ismail Sabri, sambil menambah, Malaysia ketika ini menempatkan 154,000 pelarian Myanmar atau 84 peratus daripada populasi pelarian dari negara itu.

Beliau berkata, Malaysia menyokong kuat usaha yang dilakukan Duta Khas ASEAN ke Myanmar, tetapi tetap berasa bimbang kerana pihak berkuasa negara itu belum lagi memberi kebenaran untuk utusan berkenaan melawat ke sana.

"Kami mendesak pihak berkuasa memberi kebenaran dan membantu Duta Khas ini menjalankan tugasnya serta mempercepatkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang sudah dipersetujui ASEAN,” katanya.

Sebanyak 10 negara anggota blok serantau itu melantik Menteri Luar II Brunei, Erywan Mohd Yusof menjadi duta khas ASEAN ke Myanmar, berperanan sebagai orang tengah serta mengatur proses dialog.

Menyentuh isu Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT), Perdana Menteri berkata, Malaysia amat kecewa dan dukacita disebabkan ramai orang awam Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh akibat serangan kejam Israel pada Mei lalu.

"Kezaliman sistematik ke atas penduduk Palestin sejak sekian lama menerusi dasar diskriminasi, mengetepikan hak asasi rakyat, mengenakan peraturan kejam, rampasan tanah besar-besaran serta perlakuan tidak berperikemanusiaan ke atas mereka, jelas menunjukkan ia jenayah aparteid.” katanya.

Selain itu, Malaysia mengulangi gesaannya kepada Israel supaya dipertanggungjawabkan terhadap segala salah laku, termasuk tindakan rejim itu yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.

Malaysia turut mengalu-alukan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan antarabangsa oleh Majlis Hak Asasi Manusia, bagi menyiasat pencabulan undang-undang hak asasi antarabangsa berhubung krisis 11 hari itu, katanya. - Bernama