KUALA TERENGGANU - Seekor penyu Agar ditemukan mati terdampar di Pantai Pandak, Chendering, di sini pada petang Sabtu.
Penyu betina seberat 15 kilogram itu dijumpai oleh orang awam ketika bersiar-siar di pantai berkenaan kira-kira jam 5 petang.
Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan penyu itu jam 5.18 petang dan tiba di lokasi setengah jam kemudian.
"Pemeriksaan pada bangkai penyu yang dianggarkan berusia antara empat hingga lima tahun itu mendapati, ada pendarahan pada matanya.
"Punca kematian tidak dapat dikenal pasti, namun saya berpandangan penyu ini mungkin lemas terperangkap dalam pukat," katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.
Menurut Ruzaidi, bangkai penyu tersebut kemudian ditanam di kawasan Pantai Pandak pada jam 7 petang.
Jelas beliau, setakat ini sebanyak 38 ekor penyu jenis Agar ditemui mati sepanjang tahun ini di Terengganu.
"Selain penyu, kita juga merekodkan kematian seekor tuntung laut," katanya.
Pada 17 Julai lalu, seekor penyu jenis Agar dewasa turut ditemui mati terdampar di Pantai Kuala Abang, Dungun oleh penduduk kampung.