SHAH ALAM- Kerajaan akan memperkenalkan kaedah baharu untuk menangani kemiskinan di negara ini pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurutnya, kerajaan akan menumpukan kepada usaha untuk membuat beberapa pembaharuan atau reformasi struktur ekonomi antaranya kaedah pendigitalan.
Jelas beliau, apabila negara berjaya mengurangkan golongan itu, sudah pasti akan dapat membantu dalam merapatkan jurang pendapatan dalam negara.
"Berkaitan dengan dasar, kami (kerajaan) akan tumpu kepada usaha untuk membuat beberapa pembaharuan atau reformasi struktur ekonomi umpamanya pendigitalan. Ini penting. Jadi kami kenalkan kaedah baharu untuk tangani kemiskinan.
"Dari segi peruntukan pula, saya terus terang, kita hadapi cabaran. Jadi, harapan untuk perbelanjaan yang besar untuk struktur atau seumpamanya di luar kemampuan kita.
"Tapi insya-ALLAH selepas tahun 2022 ekonomi akan berkembang pada kadar yang lebih tinggi,” katanya pada program Agenda Awani: RMK12 Asas untuk Memulihkan Negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RMK12 akan menumpukan kepada dua aspek iaitu memastikan sistem kesihatan berada dalam keadaan yang terbaik dan juga meringankan beban rakyat,
Jelasnya, kerajaan juga ingin memastikan ekonomi pulih seperti keadaan sebelum Covid-19 dan memantapkan ekonomi supaya lebih berdaya saing sebagai keutamaan pada masa kini.
"Kita nak pastikan ekonomi kita lebih berdaya saing kerana kita menghadapi banyak saingan. Kita sebuah negara yang mana bergantung kepada luar negara kerana ekonomi terbuka.
"Jadi kalau kita tidak cukup daya saing, kita tidak mampu bina kekuatan sebagai sebuah negara yang maju. Ini keutamaan yg akan berikan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menyasarkan kadar pertumbuhan sekitar 5.6 peratus bagi RMK12 ini.
"Tapi kadar pertumbuhan pada tahun lepas menguncup. Jadi, kita perlu tangani dengan merancakkan ekonomi. Ini satu tumpuan yang akan diberikan iaitu sektor-sektor yang perlu dipulihkan contohnya pelancongan.
"Menteri pelancongan ada perancangan dan akan bincang dengan kerajaan. Jadi, kena siapkan tenaga kerja,” ujarnya.