SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan ramai dalam kalangan umat Islam meninggalkan kewajipan berpolitik dan menyerahkan kuasa kepada pihak lain.
Menurutnya, akibat daripada itu, tanah air mereka dijajah secara langsung atau tidak langsung.
"Malah, mengakibatkan Islam itu dihina di hadapan mata mereka tanpa apa-apa perasaan dan tanpa sedar mereka telah diperhambakan oleh musuh Islam,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebook beliau pada Ahad.
Ahli Parlimen Marang itu menambah, selepas kewafatan Rasulullah SAW, hukum kewajipan berpolitik telah menjadi ijmak atau sepakat para ulama.
"Hal ini sekali gus menunjukkan hukum wajib berpolitik adalah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijmak para ulama khususnya generasi awal Islam yang menjadi pilihan ALLAH SWT,” katanya.
Menurutnya, kesempurnaan Islam tidak boleh diamalkan tanpa politik bagi mentadbir dan mengurus pelaksanaannya.
Dalam tulisannya juga, Abdul Hadi turut menyentuh mengenai kesan politik dihilangkan daripada Islam.
"Apabila politik dihilangkan daripada Islam, sehingga tumbangnya sebuah kerajaan yang mendaulatkan Islam, lalu dikuasai oleh penjajah dan ideologinya.
"Walaupun dikatakan sudah beroleh kemerdekaan dan mampu memerintah sendiri, tetapi kebanyakan hukum Islam telah dilupakan oleh umat Islam dan mereka jahil berkenaannya,” ujarnya.
Beliau turut mengambil contoh dengan langkah negara Turki dipimpin oleh Kamal Ataturk yang menegakkan sekularisme setelah menjatuhkan Khalifah Uthmaniyah.
"Apa yang dikatakan sebagai langkah memajukan Turki dengan meninggalkan Islam adalah suatu pembohongan, apabila Turki jatuh menjunam daripada kuasa besar dunia kepada sebuah negara yang lemah.
"Seterusnya diikuti dengan penjajahan dan pembahagian tanah air Islam oleh kalangan negara-negara penjajah.
"Kesannya sehingga hari ini, negara umat Islam masih berada pada tahap negara yang lemah dan dipecahkan di bawah pengaruh kuasa besar yang menjajah dengan bentuk penjajahan baharu atau neokolonialisme,” katanya.
Beliau berkata, walaupun ALLAH SWT mengurniakan hasil bumi yang melimpah ruah, penduduk manusia yang ramai dan kedudukan yang terbaik dalam peta dunia, namun umat Islam tetap tidak berjaya untuk bangkit semula menjadi umat yang hebat dan perkasa.