SHAH ALAM– Bank Rakyat menyasarkan untuk melahirkan bangsa usahawan seiring dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi pelaksanaan pelbagai program latihan selain menyediakan pembiayaan bagi golongan tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, MEDAC akan terus merancang pelan tindakan dalam masa terdekat bagi memandu, mengurus dan melahirkan bangsa usahawan menerusi kerjasama pelbagai institusi dan agensi.
"Tumpuan kementerian juga lebih menjurus kepada usaha membantu empat kumpulan sasar yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 antaranya usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan yang diberhentikan kerja dan mahasiswa yang tiada pekerjaan tetapi ingin menjadi usahawan serta koperasi.
"Ini merupakan inisiatif MEDAC sebagai menzahirkan pencapaian seawal tempoh 100 hari pertama dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi yang secara tidak langsung akan membina Keluarga Malaysia yang inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2021 yang diadakan secara maya pada Ahad.
Mengulas lanjut, Noh berkata, Bank Rakyat menyediakan pelbagai program dan bantuan kewangan kepada individu, usahawan mikro dan PKS seperti RAKYATpreneur, UNIpreneur, kempen BR Cares dan Biz-Lady.
Selain itu, beliau berkata, Bank Rakyat juga turut menawarkan Bantuan Bayaran Pembiayaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) tanpa menjejaskan laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) pelanggan.
"Bantuan kewangan kepada sektor koperasi juga turut disediakan menerusi program BR Flex-i, Pembiayaan Perniagaan Ar-Rahnu, Pembiayaan Modal Kerja untuk Koperasi Kredit dan Pembiayaan Premis Perniagaan serta Pembiayaan Pakej Khas untuk Koperasi yang menjadi anggota Bank Rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar memaklumkan bahawa menjadi agensi di bawah MEDAC membolehkan Bank Rakyat meraih keuntungan dengan mengakses rangkaian PKS dan koperasi serta menyumbang kepada aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025.
"Bank Rakyat juga akan mendokong usaha kerajaan untuk memacukan pendigitalan ekonomi selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
"Ini dibuktikan dengan usaha digitalisasi Bank Rakyat seperti pengenalan sistem perbankan teras baharu CoBRA pada 12 Oktober 2020, platform perkhidmatan perbankan digital Quick Response to Entrepreneurs (QR2E) untuk usahawan pada 17 Mac 2021, perkhidmatan janji temu dalam talian pada Julai dan Ogos 2021 dan aplikasi iRakyat yang bakal dilancarkan tidak lama lagi,” ujarnya.