RANTAU PANJANG - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) wujudkan tiga buah Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di negara ini dalam usaha membantu individu yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga serta masalah sosial.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peruntukan berjumlah RM21 juta itu turut melibatkan kewujudan PSSS Bergerak yang membabitkan lokasi Zon Utara, Selatan, Tengah, Timur, Sarawak, Sabah dan Putrajaya.
"Tiga buah PSSS akan dibangunkan itu melibatkan Selangor, Kelantan dan Johor dijadualkan beroperasi pada awal tahun hadapan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.
" PSSS yang dibangunkan ini dilengkapi dengan kemudahan seperti unit bimbingan dan kaunseling, penempatan sementara, pusat perlindungan untuk mangsa yang memerlukan serta bantuan kebajikan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek PSSS dan Penyerahan Kunci di Kompleks Perumahan Kastam Rantau Panjang pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Rakbi Mat saud.
Mengulas lanjut, Rina berkata, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga akan turut ditempatkan di PSSS terbabit bagi tempoh jangka masa panjang sekali gus menjadikan pusat itu sebagai satu kompleks bagi memudahkan tugas KPKWM.
Beliau berkata, Kelantan merupakan negeri pertama ditubuhkan PSSS ini sebelum ia diperluaskan ke Selangor dan Johor.
"PSSS di Kelantan, Selangor dan Johor dijangka akan memulakan operasi pada awal tahun hadapan manakala PSSS Bergerak pada Oktober ini.
"PSSS Bergerak akan melibatkan tujuh kenderaan jenis trak yang diubah suai dan bergerak ke kawasan yang mempunyai penduduk padat antaranya di kawasan Projek Perumahan Rakyat," katanya.
Menurutnya, ini merupakan perkhidmatan pertama dibawa terus kepada rakyat, di mana trak itu juga mempunyai bilik kaunseling serta kemudahan lain.