Peragut gigit telinga dihadap ke mahkamah

Iklan
Abdul Aziz (tengah) dikawal polis keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Ahad selepas mengaku salah atas tuduhan rompakan ke atas seorang wanita pada minggu lalu. - FOTO SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI

KOTA BHARU - Seorang lelaki yang menggigit telinga suami mangsa dalam kejadian ragut minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas pertuduhan rompakan.

Tertuduh, Abdul Aziz Abd Rahman, 29, juga seorang buruh didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Iklan
Iklan

Hukuman terhadap tertuduh bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu laporan perubatan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai, Batu 11, Ketereh pada jam 5.45 pagi, 19 September lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Pada prosiding itu, Fariz tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan serius yang dilakukan.

"Suami mangsa mengalami kecederaan dalam kes ini dan jika dibenarkan jamin dibimbangi akan menimbulkan kegusaran terhadap orang awam,” katanya.

Ahmad Bazli kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Oktober ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang peragut bertindak mengigit telinga suami mangsa hingga terkoyak ketika pergelutan untuk melarikan diri selepas meragut beg tangan pembantu perubatan wanita itu pada 19 September lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa baru tiba dari Negeri Sembilan dan turun dari bas ekspres diragut ketika sedang menunggu suaminya.

Akibatnya, suami mangsa menerima tujuh jahitan di telinga kiri manakala suspek pula patah tangan kanan kerana dilanggar oleh kereta yang dipandu lelaki itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Peragut gigit telinga sampai koyak'