YAATIM cari anak yatim untuk dibantu

Iklan
Mukhtar (kanan) bersama petugas menunjukkan ruang asrama pelajar perempuan di YAATIM Taman Sabariah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (YAATIM) akan menggerakkan Program Outreach untuk mengesan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19 bermula 1 Oktober ini bagi menyalurkan bantuan kewangan dan tempat tinggal di rumah anak-anak yatim.

Ketua Eksekutif YAATIM, Mukhtar Ismail berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dan persatuan penduduk di negeri ini bagi mengumpul maklumat dan mengesan keberadaan anak-anak yatim tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha itu sejajar dengan keperihatinan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menyalurkan bantuan segera RM 150 sehingga RM 1,000 kepada 4,422 kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat Covid-19 di seluruh negara.

"Kami akan mengenalpasti anak-anak yatim yang kehilangan kasih sayang dan tempat bergantung untuk menawarkan mereka tinggal di rumah anak-anak yatim.

Iklan

"Mereka juga akan dipastikan bersekolah, makan minum dijaga, perbelanjaan harian ditanggung serta diberikan wang saku yang berpadanan,” katanya ketika ditemui di Rumah Anak Yatim YAATIM di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mukhtar berkata, sehingga kini, seramai 161 anak yatim dan pelajar miskin berusia antara 10 sehingga 19 tahun berada di bawah jagaan YAATIM.

Iklan

"Daripada jumlah itu, 23 adalah lelaki dan 56 perempuan manakala 41 lagi adalah pelajar vokasional yang tinggal di rumah masing-masing.

"YAATIM mempunyai 27 tenaga pengajar dengan kapasiti asrama perempuan seramai 150 pelajar dan 100 pelajar lelaki. Jadi, kita masih ada 171 kekosongan yang boleh diisi oleh anak yatim,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, sebarang urusan boleh menghubungi pihaknya di talian 012-9474642 atau terus ke pejabat YAATIM di Taman Sabariah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

"Saya mengharap kerjasama dari semua pihak untuk menyalurkan maklumat berkaitan anak-anak yatim ini bagi memastikan nasib mereka terbela,” katanya.