Fasa endemik bawa rakyat keluar daripada 'kemurungan'

Iklan
Pembukaan lebih banyak sektor sosial dan ekonomi pastinya banyak membantu rakyat untuk keluar daripada kepompong ‘kemurungan’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.(Gambar hiasan) - Foto 123rf

KUALA LUMPUR - Pembukaan lebih banyak sektor sosial dan ekonomi secara berperingkat serta kebenaran merentasi negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus pertengahan bulan depan, pastinya banyak membantu rakyat untuk keluar daripada kepompong ‘kemurungan’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.

Peralihan daripada pandemik Covid-19 kepada fasa endemik membuktikan keberkesanan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan persekitaran sosial dan ekonomi negara kepada keadaan asal sebelum Covid-19 melanda dunia.

Iklan
Iklan

Namun fasa endemik yang hampir menjadi kenyataan ini tetap bergantung kepada sejauh mana rakyat membiasakan diri dengan norma baharu dan sentiasa akur kepada peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang akan terus terpakai sehingga satu waktu yang dianggap keadaan sudah selamat.

Senario sekarang ialah aktiviti yang dahulunya menjadi kekangan telah mula dibenarkan semula secara berperingkat dengan pembukaan pelbagai sektor termasuk pelancongan, ekonomi, sukan dan sosial, satu keadaan yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan sudah bersedia membawa rakyat memasuki fasa endemik seperti yang dirancang.

Iklan

Pembukaan semula Langkawi sebagai projek perintis pelancongan negara menerusi konsep gelembung pelancongan yang bakal disusuli dengan tempat-tempat tarikan pelancong lain di negara ini, akan menggerakkan semula sektor itu dengan penyediaan lebih banyak pekerjaan dan peningkatan pendapatan negara.

Sejak projek itu dilaksanakan bilangan pelawat ke Pulau Langkawi terus meningkat menghampiri 10,000 orang, yang memasukinya menerusi lapangan terbang dan jeti Kuala Perlis.

Iklan

Ketika ini Negeri Sembilan merupakan kawasan kedua selepas Wilayah Persekutuan Labuan yang telah beralih ke Fasa Empat PPN, manakala empat negeri kini berada di fasa tiga, tujuh negeri termasuk Lembah Klang di fasa dua, dan hanya Kedah yang masih kekal pada fasa satu.

Pastinya yang dinanti-nantikan rakyat ialah kebenaran merentas negeri, yang kali terakhir kebenaran diberikan adalah adalah pada 7 Disember tahun lepas, sebelum ia ditarik semula berikutan peningkatan kes jangkitan.

Ketika ini hanya tinggal 6.9 peratus populasi dewasa perlu mendapatkan vaksin sepenuhnya bagi membolehkan rentas negeri menjadi kenyataan, semula apabila tercapainya 90 peratus populasi divaksin seperti yang disasarkan kerajaan dua atau tiga minggu lagi.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 25 September menunjukkan 83.1 peratus atau 19,454,273 populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Doktor Kesihatan Awam, Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun berkata, beliau yakin 90 peratus vaksinasi lengkap populasi dewasa akan tercapai dalam tempoh ditetapkan kerajaan berdasarkan kepada peningkatan jumlah vaksinasi setiap hari, yang menunjukkan orang ramai begitu serius mahu mendapat pelalian terhadap penyakit itu.

Menurutnya, apabila berada di fasa endemik, ia tidak bererti rakyat harus ghairah untuk meraikan ia sebagai ‘kebebasan’ terhadap SOP, kerana sebenarnya masih ada amalan penting yang perlu dipatuhi, seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan menjaga kebersihan kesihatan.

"Selagi penawar tidak ditemui, kita tetap akan hidup bersama dengan virus ini sampai bila-bila kerana ia tetap ada, dan tidak akan meninggalkan kita. Kerana itu penting untuk terus amalkan SOP seperti yang disaran kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, selepas menjadi endemik, individu yang mempunyai simptom ringan seperti kategori satu dan dua akan dianggap sebagai selesema biasa, tanpa perlu merujuk ke hospital melainkan sekiranya pesakit menunjukkan gejala lebih berat seperti sesak nafas.

Malah usaha ke arah itu telah dimulakan apabila kerajaan membenarkan kuarantin kendiri bagi mereka yang kurang bergejala.

"Selepas beralih ke fasa endemik, sudah tidak perlu lagi nak maklumkan kepada orang ramai mengenai status kes baharu, dan ini mungkin akan menyebabkan masyarakat semakin lalai terutama apabila ia menjadi satu virus biasa.

"Saya amat berharap agar kerajaan terus memaklumkan kepada masyarakat perkembangan kes terutama kes kategori tiga hingga lima, serta kes kematian, agar rakyat tidak culas dalam soal berhubung pematuhan SOP, dan sentiasa beringat mengenai keberadaan virus Covid-19,” katanya. - Bernama