Zon bebas cukai Rantau Panjang kembali meriah

Iklan
Sebahagian daripada pengunjung yang datang membeli-belah di zon bebas cukai Rantau Panjang menikmati ais krim Baba yang popular di sini.

RANTAU PANJANG - Kelonggaran yang diberi kerajaan kepada individu yang sudah melengkapkan suntikan dua dos vaksin Covid-19 untuk rentas daerah menyaksikan zon bebas cukai Rantau Panjang di sini kembali meriah apabila mula menerima kunjungan orang luar.

Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati, deretan kedai menjual pakaian, perkakasan dapur seperti periuk, pinggan mangkuk dan gerai makanan serta buah-buahan kembali aktif berniaga.

Iklan
Iklan

Peniaga makanan ringan, Fazilah Mohd Ghani, 29, berkata, sejak Jumaat lalu dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang singgah ke gerainya.

"Alhamdulillah, sejak kerajaan memberi kelonggaran kepada individu yang lengkap dua dos vaksin jumlah kedatangan pengunjung ke sini makin bertambah.

Iklan

"Pertambahan itu memberikan rezeki buat kami semua peniaga di sini yang sudah lama bercuti berniaga," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, situasi itu sekali gus membolehkan dia dan peniaga lain menarik nafas lega apabila barangan jualan laris.

Iklan

Seorang pengunjung, Noor Hazwani Ghazali, 27, dari Kota Bharu teruja dapat merentas daerah dan membeli-belah barangan keperluan di zon bebas cukai Rantau Panjang.

Zon bebas cukai Rantau Panjang kembali meriah apabila mula menerima kunjungan dari orang luar.

"Saya suka ke Rantau Panjang kerana di sini banyak pilihan dan harganya berpatutan.

"Selain itu terdapat pelbagai makanan yang enak-enak dan murah," katanya.

Harun Yaakob, 64, berkata, dia sanggup memandu dari Pasir Puteh bersama isteri untuk datang mencuci mata dan membeli-belah di sini.

Katanya, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan cukup melegakan rakyat yang sudah melengkapkan dua dos untuk rentas daerah.

Dia berkata, bagaimanapun pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dikekalkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

"Setiap kali masuk ke sesuatu premis pastikan kita mengimbas kod MySejahtera, jaga penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup separuh muka.

"Bukan itu sahaja elakkan mengunjungi premis yang terlalu sesak," katanya.