TAIPING - Kebakaran membabitkan sebuah kilang kain di Kawasan Perindustrian Ringan Tupai di sini pada Ahad, berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran terbabit pada jam 3.30 petang.
Menurut beliau, sebaik bomba tiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan bangunan kilang itu.
"Bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian daripada merebak ke bangunan bersebelahan.
"Kebakaran itu membabitkan kilang berkeluasan 30.5 x 30.5 meter persegi. Kerja-kerja pemadaman api sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika kejadian kilang berkenaan tidak beroperasi.
Katanya, bangunan kilang kelas B jenis setingkat itu dianggarkan musnah 70 peratus.
"Kira-kira 130 anggota dan pegawai digerakkan bagi operasi pemadaman itu.
"Operasi turut membabitkan BBP Kamunting, Bagan Serai, Batu Kurau dan Kuala Kangsar sambil dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS)," katanya.