SHAH ALAM - Beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang melanda daerah tersebut pada Ahad.
Banjir yang melanda kawasan tersebut terjadi akibat hujan lebat tanpa henti sejak jam 3 petang tadi.
Salah seorang penduduk di Batu 3, di sini, Muhamad Hafiezi Kamaruzaman, 32, berkata, banjir kilat di hadapan sebuah stesen minyak dengan ketinggian air sekitar 0.5 meter.
Menurutnya, terdapat beberapa buah kenderaan seperti motosikal dan bas juga gagal meredah kawasan banjir di sini, malah ada yang bertindak berpatah balik.
Selain itu, lelaki itu turut melaporkan bahawa keadaan banjir di sekitar sebuah kilang gula di sini juga masih belum reda.
"Laluan keluar dari Seksyen 19 menghala ke Lebuh Raya Persekutuan dinaiki air hingga ke paras betis atau lutut kira-kira 0.5 meter, namun jalan di berlainan arah dilaporkan semakin reda.
"Saya nampak beberapa buah kenderaan seperti motorsikal dan bas gagal melalui kawasan tersebut, ada juga yang berpatah balik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, turut tular beberapa gambar dan video dalam media sosial memaparkan keadaan banjir di sekitar kawasan ini.
Salah seorang pemilik akaun Twitter bernama @paultank memuatnaik video dan gambar menerusi satu bebenang yang memaparkan beberapa lokasi yang dilanda banjir di sekitar sini.