KUALA LUMPUR (KL) City FC memulakan saingan Piala Malaysia dengan langkah kanan selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Kelibat pemain import KL City, Romel Morales sekali lagi mencuri tumpuan apabila dia meledak dua gol dalam aksi pembukaan Kumpulan A itu.
Beraksi di laman sendiri, KL City membuka tirai jaringan menerusi tandukan Daniel Ting pada babak pertama hasil sepakan penjuru daripada kapten, Safee Sali.
Morales menambah gol kedua The City Boys pada minit ke-47 apabila bermain hantaran satu dua dengan Safee selepas berjaya merampas bola daripada kesilapan bek tengah Sri Pahang, Herold Mark Goulon.
Morales terus membuktikan ketajamannya apabila berjaya meloloskan diri daripada perangkap ofsaid skuad Tok Gajah untuk menolak masuk bola sepakan percuma Paulo Josue pada minit ke-72.
Gawang KL City akhirnya bolos apabila Giancarlo Gallifuoco menjaringkan gol sendiri selepas tertampan masuk bola hantaran pemain Sri Pahang pada minit ke-79.
Pada Rabu ini, KL City akan bertandang ke Stadium Bandaraya bagi menghadapi Penang FC yang tewas mengejut 1-3 kepada Sarawak United FC di gelanggang sendiri dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor FC meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Perak FC 1-0 hasil jaringan penalti Ifedayo Olusegun pada minit ke-80.
Keputusan itu membolehkan Selangor FC berada dalam kelompok dua teratas Kumpulan B bersama Terengganu FC (TFC) yang meraih kemenangan 2-0 ke atas Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
KEPUTUSAN PERLAWANAN
KUMPULAN A
Penang FC 1 - 3 Sarawak United FC
KL City FC 3 - 1 Sri Pahang FC
KUMPULAN B
Terengganu FC 2 - 0 Kuching City FC
Selangor FC 1 - 0 Perak FC