KUALA TERENGGANU – Golongan gelandangan di Terengganu turut diberi perhatian dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) apabila mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19 malam tadi.
Timbalan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Terengganu, Ahmad Shah Muhamed berkata, buat permulaan seramai 18 gelandangan menerima suntikan vaksin dos tunggal jenis CanSino di beberapa lokasi.
Menurutnya, walaupun gelandangan tidak ramai di Terengganu namun kumpulan itu tidak dipinggirkan.
"Sambutan yang diterima menggalakkan kerana 18 daripada 14 gelandangan yang disasarkan menerima suntikan. Ada juga yang melarikan diri kerana mungkin mereka fikir akan ditangkap.
"Jumlah suntikan melebihi sasaran ini menunjukkan mereka memberi kerjasama dan kita akan teruskan program ini bagi memastikan semua gelandangan dapat divaksin,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata demikian selepas meninjau proses vaksinasi gelandangan di beberapa lokasi termasuk hentian bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini malam Isnin.
Program hasil kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Polis dan Persatuan Sosial Komuniti Terengganu itu turut dihadiri ADUN Wanita, Zuraida Md Noor.
Jelas Ahmad Shah, dianggarkan terdapat lebih 50 gelandangan di sekitar bandaraya Kuala Terengganu namun jumlahnya tidak statik.
Sementara itu, seorang gelandangan, Mohd Zulkifli Mohd Rani, 50 dari Kerteh, Kemaman bersyukur kerana dapat menerima vaksin Covid-19 sama seperti masyarakat lain.
"Suntik vaksin ini sekejap saja dan tidak sakit. Syukur dapat juga vaksin sama seperti orang lain, lepas suntik, bolehlah makan di kedai seperti dulu-dulu,” katanya.