Peniaga cemas khemah dibadai puting beliung

Iklan
Khemah perniagaan yang didakwa terangkat sebelum terbalik dan menghempap kanopi.

PUCHONG - Peniaga makanan di Kampung Tengah Batu 13 berdekatan Sungai Klang di sini panik seketika apabila angin puting beliung membadai deretan khemah perniagaan mereka tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada jam 12.45 tengah hari, tiga khemah besar didakwa ‘terangkat’ sebelum terbalik dan menghempap beberapa kanopi di gerai berdekatan.

Iklan
Iklan

Peniaga makanan, Sufian Termiji, 38, berkata, dia yang terkejut melihat pusaran angin besar berwarna putih berlari menyelematkan diri bersama peniaga lain.

"Kejadian berlaku selepas saya ambil anak dari sekolah tadika berhampiran, bila nampak angin berpusing terus saya selamatkan anak perempuan berusia lima tahun yang berada di khemah.

Iklan

"Tak sempat nak rakam kejadian kerana ia berlaku terlalu pantas,” katanya kepada Sinar Harian.

Sufian berkata, sejak menjalankan perniagaan itu lima tahun lalu, kerap berlaku kejadian puting beliung namun kali ini lebih besar hingga menyebabkan kerugian kepada tiga peniaga.

Iklan

Katanya, kali ini angin tersebut datang dari arah kawasan kampung menghala ke Sungai Klang dan menuju ke Kampung Seri Aman.

"Memang cemas sekejap sebab kali ni nampak anginnya luar biasa, ada khemah terangkat manakala kanopi yang kecil rosak dibadai angin.

"Keugian dianggarkan hampir RM3,000 namun tiada kecederaan ataupun kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Sementara itu seorang lagi peniaga, Nurfarhana Aishah Shari, 28, berkata, sebaik melihat angin puting beliung ‘datang’, dia segera memegang tiang kanopi bagi mengelakkan ia terbang.

Katanya, itu bukan kejadian pertama malah terpaksa beberapa kali membeli kain kanopi baru apabila ia mengalami kerosakan.

"Angin tadi memang kuat...saya berlari ke tepi sebelum kembali ke kanopi untuk selamatkan ia supaya tak terbang,” katanya.

Peniaga alami kerugian hampir RM3,000 akibat kejadian tersebut.