Harga kit ujian kendiri Covid-19 diturunkan pada Disember

Iklan
Kit ujian kendiri Covid-19 - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU – Kerajaan dijangka melaksanakan penetapan harga maksimum baharu kit ujian pantas kendiri Covid-19 lebih rendah daripada harga semasa selewat-lewatnya pada Disember depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sehingga kini harga baharu kit ujian tersebut belum ditetapkan dan masih dibincangkan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan turut mempertimbangkan keperluan pelaksanaan harga baharu lebih awal berbanding Disember berikutan permintaan dan penggunaan alatan ujian ini kian meningkat.

"Pembukaan sektor ekonomi, pelancongan dan pendidikan secara berperingkat dan lain-lain kelonggaran dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjadikan kit ujian kendiri Covid-19 alatan penting yang diperlukan orang ramai bagi memastikan diri bebas daripada jangkitan Covid-19.

Iklan

"Dalam erti kata lain, ujian pengesanan kendiri Covid-19 kini menjadi satu norma baharu yang perlu diadaptasi dalam kehidupan seharian segenap lapisan masyarakat.

"Kerajaan mahu memastikan rakyat dapat memeriksa kesihatan kendiri secara kerap dalam usaha membendung penularan wabak ini dan dalam masa sama perlu memastikan harga kit ujian ini lebih mesra pengguna dan tidak membebankan,” katanya pada Isnin.

Iklan

Kerajaan sebelum ini memaklumkan harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa 5 September menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kit berkenaan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.

Rosol berkata, kerajaan prihatin dalam melindungi hak pengguna untuk mendapatkan kit ujian Covid-19 pada harga yang lebih baik dan tidak membebankan, namun dalam masa sama turut mengambil kira kepentingan dan kelangsungan perniagaan serta pemain industri yang terbabit dengan kit ujian ini.

Sehubungan itu katanya, rundingan dengan pemain industri dan pihak berkepentingan dalam penetapan harga baharu kit ujian ini giat dijalankan dari masa ke masa.

Dalam pada itu, Rosol turut memaklumkan KPDNHEP telah membuat pemeriksaan terhadap 3,106 premis yang menjual kit ujian kendiri Covid-19 di seluruh negara sejak harga kawalan alatan itu dikuatkuasakan pada 5 September lalu.

Daripada jumlah itu kata beliau, 348 premis didapati menjual di bawah harga RM19.90 manakala 2,554 premis lagi menjual kit ujian mengikut harga kawalan.

"Kerajaan gembira dan menyambut baik inisiatif pemain industri yang membantu mengurangkan bebanan rakyat dengan menawarkan harga kit ini lebih rendah daripada harga kawalan. Kita juga memberi jaminan kit ujian kendiri Covid-19 sebanyak 6 juta dalam pasaran mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai,” katanya.