Pulau Pinang mungkin bina jambatan ketiga

Iklan
Kon Yeow

GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan sebagai link ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Bagaimanapun, Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.

Iklan
Iklan

"Berkenaan dengan cadangan menggantikan terowong bawah dasar laut dengan jambatan, pada ketika ini, kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZC adalah untuk terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.

"Walaupun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai link ketiga, namun ia belum lagi dipertimbangkan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Kon Yeow berkata, sebarang pertimbangan hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri.

Pada Ahad, Gerakan Pulau Pinang mendesak agar kerajaan negeri terutamanya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk menjelaskan beberapa perkara yang dilihat mengelirukan berhubung projek terowong dasar laut yang dikatakan akan digantikan dengan jambatan yang merentasi Selat Pulau Pinang.

Iklan

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong dilaporkan berkata, banyak persoalan yang timbul apabila laporan media pada Sabtu menyatakan projek mega itu tidak akan menjadi kenyataan sebaliknya digantikan dengan projek jambatan.

Menurutnya, sekiranya benar terowong dasar laut akan digantikan dengan jambatan, bagaimana kerajaan negeri mengambil balik tanah yang telah diberikan kepada konsortium dilantik, sebagai satu pembayaran kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut itu.

"Banyak persoalan yang timbul apabila isu terowong dasar laut ini dibangkitkan yang mana ia dikatakan akan digantikan dengan jambatan. Jika benar, adakah Kon Yeow akan mengakui projek terowong dasar laut yang dicadangkan DAP itu merupakan penipuan yang dicipta mereka untuk meraih sokongan pengundi yang akhirnya merugikan rakyat.

"Ini kerana, tanah miliki rakyat Pulau Pinang telah digunakan untuk membayar kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut dan akhirnya ia tidak dilaksanakan, sebaliknya digantikan dengan jambatan," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Ahad.

Menjawab mengenai isu itu, Kon Yeow berkata, walaupun sudah banyak kali kerajaan negeri memberikan penjelasan mengenai perincian projek yang telah dianugerahkan melalui tender terbuka pada tahun 2012, namun masih lagi berlaku banyak penyelewengan fakta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan, kos bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi keempat-empat pakej tersebut (tiga lebuh raya dan terowong bawah dasar laut) adalah berjumlah RM305 juta.

Katanya, hanya RM208 juta yang telah dibayar melalui kaedah ‘exchange land’ kepada kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci untuk tiga lebuh raya sahaja.

"Langsung tiada bayaran dibuat bagi terowong bawah dasar laut kerana kajian kebolehlaksanaannya belum lagi diterima serta diluluskan oleh kerajaan negeri.

"Status terkini, kajian kebolehlaksanaan telahpun siap dan akan dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sejurus segala ulasan daripada agensi teknikal termasuk agensi-agensi Persekutuan diterima," katanya.