KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak semua pihak untuk mengenepikan semua perbezaan sebaliknya berganding bahu untuk membina Keluarga Malaysia yang berdaya saing.
Ujarnya, meskipun krisis pandemik Covid-19 telah banyak memberi kesan mendalam kepada rakyat, namun ia juga turut mempunyai 'hikmah' tersendiri.
"Sesungguhnya krisis ini telah menyatukan kita semua. Krisis ini juga telah membuka peluang untuk kita melakukan transformasi.
"Pada 13 September lalu, kita telah mencipta sejarah. Buat pertama kali, kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah memeterai Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik.
"Ini adalah hasil daripada dasar kerajaan yang inklusif. Harapan saya, persefahaman ini akan membolehkan kita memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian sebelum mengakhiri pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambahnya, dengan penglibatan semua pihak secara menyeluruh diharap mampu meningkatkan kemampuan negara mendepani pandemik yang bakal beralih ke fasa endemik tidak lama lagi.
"Marilah kita kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada di sebelah sini dan di sebelah sana untuk bersama-sama merealisasikan matlamat RMK12.
"Kita mesti mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi Keluarga Malaysia.
"Saya yakin, berkat keredaan ALLAH SWT melalui perancangan lima tahun ini, Malaysia mampu bangkit semula dan Insya-ALLAHlah, kita boleh melakar masa hadapan yang lebih baik," katanya.