KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan 71 notis kepada 50 pemilik kenderaan di atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan terhadap penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di sekitar Kuantan, pada Ahad.
Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 31 notis dikeluarkan kerana gagal mematuhi peraturan lampu isyarat dan 20 notis lagi membabitkan masalah teknikal seperti ubah suai ekzos, nombor plat kenderaan, cermin sisi serta sebagainya.
"Sebanyak 20 notis lagi membabitkan pelbagai kesalahan lain. Kita turut mengeluarkan empat saman terhadap penunggang yang tidak memakai topi keledar.
"Bukan sekadar saman, kita juga turut memberi nasihat berkaitan penggunaan jenis topi keledar yang tidak mematuhi piawaian keselamatan," katanya pada Isnin.
Mengulas aduan membabitkan p-hailing yang menunggang secara bahaya, menggunakan telefon bimbit dan tidak mematuhi lampu isyarat merah, Kamarul berkata, itu antara fokus operasi yang diadakan pihaknya pada Ahad.
Beliau menjelaskan, masih ada segelintir dari operator p-hailing yang didapati melanggar undang-undang jalan raya yang bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri bahkan juga pengguna jalan raya yang lain sehingga mengundang resah dalam kalangan masyarakat.
"Justeru, kita mengadakan operasi penguatkuasaan terhadap penunggang p-hailing khususnya di sekitar Kuantan untuk mengambil tindakan sesuai terhadap mereka yang melanggar peraturan jalan raya.
"Kita yakin dengan cara ini, isu-isu tular seperti menunggang secara bahaya, menggunakan telefon bimbit dan tidak mematuhi lampu isyarat merah dapat ditangani," ujarnya.
Sehubungan itu, Kamarul menasihati mereka agar sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi bagi memastikan keselamatan diri dan pelanggan.