SHAH ALAM - Rata-rata penduduk Selangor menerima baik inisiatif kerajaan negeri untuk mengkaji semula caj beg plastik bagi menjaga kelestarian alam sekitar, namun menolak caj tersebut dinaikkan daripada kadar semasa iaitu 20 sen sehelai.
Tinjauan Sinar Harian di Selangor mendapati rakyat bersetuju cadangan kerajaan Selangor mengkaji semula polisi penggunaan beg plastik sebagai sokongan terhadap kerajaan negeri yang ingin menjaga kelestarian alam sekitar.
Namun, kurang bersetuju jika caj beg plastik sedia ada dinaikkkan kepada kadar yang lebih tinggi kerana ia dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan terutamanya dalam suasana pandemik Covid-19.
Nor Amira Amizan, 27, berkata, kenaikan caj beg plastik dilihat tidak wajar dilaksanakan pada musim pandemik Covid-19 kerana hanya segelintir rakyat yang mempunyai beg kitar semula untuk digunakan ketika membeli barangan harian.
Dia yang tinggal di Subang Jaya juga mencadangkan supaya kerajaan Selangor menggunakan hasil kutipan caj beg plastik tersebut bagi menghasilkan beg kitar semula dan diberikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan secara percuma.
"Rakyat biasa mungkin boleh bawa beg sendiri untuk membeli barangan harian tapi sebaliknya pula bagi individu kurang berkemampuan atau gelandangan yang mungkin tidak memiliki beg berkenaan.
"Kalau betul kerajaan Selangor tegas berkenaan pengurangan beg plastik untuk menjaga alam sekitar, mungkin mereka boleh berikan beg kitar semula secara percuma kepada rakyat yang memerlukan sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Adam Danial Razali, 24, bersetuju kerajaan Selangor meneruskan usaha berkempen untuk mengurangkan penggunaan beg plastik kerana ia tidak sukar untuk dilaksanakan.
Ujarnya, kerajaan Selangor boleh mencontohi beberapa pasar raya di Melaka yang tidak menyediakan beg plastik, sebaliknya mereka menggantikannya dengan beg kitar semula dan beg kertas.
"Jika caj beg plastik dinaikkan sekalipun, ada segelintir individu yang mampu membayar caj tersebut, namun ia tidak akan kekal lama kerana dikhuatiri akan membebankan mereka pada kemudian hari dan akhirnya membawa beg sendiri.
"Mungkin boleh buat seperti di Melaka, yang mana mereka tidak menyediakan beg plastik tetapi menjual beg kertas dan beg kitar semula untuk pengunjung menggunakannya berulang kali ketika membeli-belah,” katanya.
Bagi Ahmad Shahiddan Saidi, 35, kerajaan negeri perlu memikirkan cara lain untuk berkempen tentang pengurangan penggunaan beg plastik, selain daripada meningkatkan caj barangan tersebut.
Katanya, walaupun peningkatan caj tersebut bertujuan untuk menunjukkan ketegasan kerajaan Selangor dalam kempen itu, segelintir rakyat masih mampu untuk membayar caj berkenaan.
"Kalau caj dinaikkan sekalipun, rakyat masih mampu bayar kerana bukan semua ada beg kitar semula dan membawanya untuk membeli barangan.
"Saya setuju kerajaan negeri naikkan caj tersebut, tapi mereka perlu fikirkan cara lain bagi menunjukkan ketegasan mereka terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya yang tinggal di Kajang.
Pada Ahad, kerajaan negeri Selangor mengumumkan akan mengkaji semula caj beg plastik yang dikenakan di negeri itu jika jumlah kutipan caj beg plastik terus meningkat.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, peningkatan tersebut dibuat sebagai penegasan kerajaan negeri terhadap pengurangan penggunaan beg plastik dalam kalangan rakyat Selangor.