KOTA BHARU - Gara-gara longkang tidak berpenutup, sebuah lori 10 tan yang membawa muatan sebanyak 50,000 biji telur ayam terperosok ke dalam longkang sedalam 1.5 meter di tepi jalan di Sri Cemerlang di sini pada Khamis lalu.
Saksi kejadian, Mohd Faissa Ibrahim, 46, berkata, kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu menyebabkan lori tersebut terperangkap lebih satu jam dalam keadaan bekalan telur terhempap di ruangan dalam belakang lori.
Katanya, yang juga pengurus syarikat pemborong telur, longkang tersebut tidak berpenutup kerana besinya rosak dan patah sejak sekian lama.
"Ketika kejadian, pemandu lori dari Pulau Pinang tiba dengan membawa bekalan telur ayam dan sedang mengundurkan lori tetapi tidak nampak lubang kerana cuaca gelap menyebabkan tayar belakang sebelah kiri terperosok ke dalam longkang.
"Kerja-kerja mengeluarkan lori itu dilakukan dengan bantuan kren dalam tempoh sejam dan lori berkenaan mengalami kerosakan,” katanya ketika ditemui di Sri Cemerlang di sini pada Isnin.
Ujarnya, laluan itu digunakan pihaknya untuk membawa masuk bekalan telur ke dalam bangunan kedai dan masih digunakan hingga sekarang.
"Satu penutup besi sudah patah terus manakala dua lagi penutup jenis konkrit yang bersebelahan pula menunggu masa untuk jatuh, jadi keadaan sangat berbahaya.
"Masalah sudah diajukan kepada pihak berkenaan dan berharap tindakan segera diambil bagi mengelak kemalangan yang lebih tragis atau meragut nyawa,” katanya.