'Ingatkan mereka pergi sekolah'

Iklan
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, HRPB untuk bedah siasat.

TAMBUN- Seorang bapa sempat mendakap jenazah anaknya sejurus Mohammad Farid,13 berjaya dibawa naik oleh pasukan penyelamat setelah lemas di Sungai Pinji berhampiran Kampung Tersusun Batu 4, di sini, hari ini.

Abd Khader Hat,50, hanya mampu tergamam selepas mengecam baju hijau yang dipakai anak bongsunya itu sebelum dia pergi sekolah bagi hadiri aktiviti sukan.

Iklan
Iklan

"Rakan anak datang rumah sekitar jam 9.30 pagi beritahu Farid lemas. Saya terus pergi tempat itu untuk melihat betul ke anak saya.

"Selepas bomba letakkan mangsa, saya cam baju dia. Baju hijau yang dia pakai sebelum dia keluar rumah,” katanya.

Iklan

Katanya, anak bongsunya itu disifatkan sebagai manja kerana mereka sering tidur bersama.

Anggota bomba berjaya menemui mangsa dan dibawa keluar untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pagi tadi dia bangun nak pergi sekolah. Saya tidak syak apa-apa. Dia bawa beg sekolah termasuk buku semua naik basikal sehinggalah diberitahu akan kejadian ini," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HRPB.

Iklan

Sementara itu, ibu seorang lagi mangsa lemas, Nor Farizah Masran, 41, menyifatkan anak keduanya, Alif Azam Azmin, 13, itu sangat bertanggungjawab terutama dalam menjaga adiknya berusia 8 tahun.

"Setiap hari jam 6.45 pagi, dia akan menghantar adiknya ke Sekolah Kebangsaan Pakatan Jaya dengan berjalan kaki dan membantu melintas jalan.

"Mereka akan lalu depan kedai ikan tempat saya bekerja sebelum sampai sekolah. Saya sempat bertanya nak makan ke? kebetulan saya mempunyai wang dan suruhnya belikan bihun," katanya.

Katanya, dia menyangka anaknya telah pergi sekolah kerana malam sebelumnya dia memaklumkan ada aktiviti sukan.

Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, mayat kedua mangsa ditemui dalam kedalaman 4.5 meter oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

14 anggota dan pegawai bomba termasuk unit PPDA bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua mangsa lemas yang dilaporkan hilang di Sungai Pinji, hari ini.

Difahamkan, mangsa bersama enam rakan sekolah lain mandi dan memancing di lokasi kejadian sebelum sesi persekolahan mereka bermula waktu petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Mahir Mat Saad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mangsa pada jam 8.57 pagi.

"Seramai 14 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian. Anggota bertindak melakukan pencarian di lokasi mangsa.

"Mangsa pertama, Alif Azam ditemui pada jam 10.12 pagi manakala Mohamad Farid ditemui 16 minit kemudian dengan jarak dua meter dari mangsa pertama oleh pasukan PPDA,” katanya.

Menurutnya, mangsa berjaya dibawa keluar dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Wan Ahmad Nazrin yang menangis atas kehilangan dua rakannya dipujuk oleh datuknya, hari ini.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Sementara itu, salah seorang rakan mangsa, Wan Ahmad Nazrin Sobri, 13, berkata mereka cuba menyelamatkan mangsa namun gagal.

"Saya dah pegang tangan Alif Azam tetapi pegangan kami terlepas dan terus hilang. Saya juga tidak dapat capai Farid sebab dia jauh ketengah. Lagipun tengah sungai itu sangat dalam,” katanya.

Menurutnya, cemas dengan keadaan itu, dia mendapatkan bantuan penduduk kampung dengan mengetuk setiap pintu rumah dan menjerit minta tolong.

"Kawan-kawan lain ada tinggal kat sungai itu. Masa menjerit itulah nasib ada pakcik yang dengar dan dia yang tolong telefon bomba.

"Kami semua rakan sekelas dan ada beberapa kali kami main di sungai ini untuk memancing dan mandi” katanya yang turut sedih kehilangan rakan baiknya itu.

ARTIKEL BERKAITAN Dua sahabat lemas mandi sungai