11 ditahan ceroboh Hutan Simpanan Kekal

Iklan
11 individu ditahan bersama lima pacuan empat roda pada Isnin selepas didapati menceroboh Hutan Simpan Amanjaya, Gerik. - Foto ihsan Jabatan Perhutanan Perak.

GERIK - Sekumpulan 11 individu termasuk seorang wanita ditahan Jabatan Perhutanan Perak selepas didapati menceroboh Hutan Simpan Amanjaya, di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, berdasarkan maklumat, kumpulan terbabit menaiki lima pacuan empat roda bagi melakukan aktiviti pemanduan lasak.

Iklan
Iklan

"Mereka melakukan aktiviti tersebut dalam Hutan Simpan Amanjaya dan Hutan Simpan Temenggor, Daerah Hutan Hulu Perak pada Ahad.

"Pasukan penguatkuasaan menjalankan pemantauan dan semakan di kawasan disyaki berlaku aktiviti pemanduan lasak tersebut sebelum mereka akhirnya ditahan kira-kira jam 1 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, kesemua individu itu didapati melakukan kesalahan kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) tanpa kebenaran dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

"Mereka gagal mengemukakan dokumen kebenaran memasuki HSK. Kesemua suspek telah ditangkap manakala kenderaan yang digunakan telah disita dan dibawa ke Stor Rampasan Bandariang.

Iklan

"Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Gerik dan mereka yang ditahan tersebut telah dilepaskan dengan Bon Jaminan Polis," katanya.

Mohamed Zin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau turut mengingatkan bahawa aktiviti rekreasi di dalam HSK adalah tidak dibenarkan semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).