SHAH ALAM - Selepas dua individu yang mengaku sebagai abang dan ibu mangsa melakukan sumpah laknat, akhirnya wanita yang mendakwa menjadi mangsa mangsa gangguan seksual oleh seorang pendakwah terkenal akhirnya melakukan sumpah laknat sendiri.
"Saya bersumpah dengan nama ALLAH bahawa pendakwah berkenaan melakukan perkara tersebut. Jika saya berdusta, ya ALLAH laknatlah saya," katanya dalam video tersebut.
Video sumpah laknat yang berdurasi 56 saat tersebut dimuat naik oleh Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung menerusi akaun media sosial miliknya pada Ahad.
Menurut Firdaus Wong, tindakannya berkongsi video tersebut adalah untuk menegakkan kebenaran dan bukan untuk membuka aib mana-mana pihak.
"Kesemua ahli keluarga mangsa menyokong tindakannya mengambil tindakan undang-undang bagi membuktikan kejadian itu memang berlaku.
"Ayuh kita bersama membantu yang dizalimi dan menzalimi. Jangan ganggu mangsa dan ahli keluarga mereka serta ahli keluarga pendakwah (yang dituduh) tersebut," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik bersama video sumpah laknat tersebut.
Sementara itu, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya bagaimanapun masih belum menerima sebarang laporan berkenaan dakwaan tersebut.
"Setakat ini kami masih belum terima apa-apa laporan lagi. Saya akan periksa laporan yang dibuat di seluruh negara," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan berkenaan sumpah laknat yang dibuat oleh seorang wanita yang mengaku sebagai ibu mangsa.
Wanita tersebut mendakwa anaknya mengalami tekanan perasaan sehingga hampir membunuh diri akibat daripada gangguan seksual tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki sumpah laknat dakwa adiknya diganggu pendakwah terkenal
Ibu pula sumpah laknat, dakwa anak diganggu pendakwah terkenal