KOTA BHARU - Polis Kelantan kini menyiasat kes sebuah kenderaan mewah milik orang kenamaan (VVIP) dipercayai seorang timbalan menteri yang melakukan kesalahan undang-undang jalan raya dengan memotong di garisan berkembar di Jalan Bukit Marak-Binjai di Cabang Tiga Gong Dermin di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan berkait perkara itu pada Isnin.
"Saya mengesahkan PDRM Kontinjen Kelantan menerima laporan berhubung kes berkenaan dan menjalankan siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada petang Isnin.
Ujar beliau, pada Isnin, pihaknya mengesan satu rakaman yang tular di laman sesawang Facebook 'Ana Tahu' bertajuk ‘P** macam pernah tengok, nak terkencing barangkali sampai ‘double line’ pun potong’.
"Rakaman video berdurasi 38 saat itu memaparkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan nombor pendaftaran P** yang memotong kenderaan di hadapannya di garisan berkembar secara berbahaya.
"Ketika memotong, ada kenderaan lain di atas jalan raya tersebut yang datang dari arah bertentangan dari Jalan Bukit Marak-Binjai berdekatan jambatan sebelum lampu isyarat Cabang Tiga Gong Dermin,” katanya.
Tular sejak Ahad, satu rakaman video yang memaparkan kenderaan mewah itu memotong beberapa kenderaan di hadapannya di garisan berkembar selain menyelit dalam kesesakan di Jalan Bukit Marak ke Binjai di Cabang Tiga Gong Dermin di sini.