KUALA LUMPUR - Defisit fiskal Malaysia yang disasarkan pada 3.0-3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025, disifatkan sebagai munasabah dengan andaian tidak berlaku sebarang kejutan luar negatif lain.
Ahli Ekonomi Kanan RHB Investment Bank Bhd, Nazmi Idrus berkata, matlamat konsolidasi fiskal jangka panjang yang diunjurkan kerajaan menerusi pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), juga memaparkan satu peningkatan berbanding sasaran defisit fiskal semasa pada 6.5 peratus hingga 7.0 peratus bagi 2021.
"(Namun) sudah semestinya ini mengambil kira bahawa persekitaran fiskal itu adalah status quo (dalam keadaan sedia ada dan tiada perubahan).
"Rancangan kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) juga tidak disebut dalam RMK12. Begitu juga cukai keuntungan modal dan cukai keuntungan luar biasa yang dipertimbangkan oleh kerajaan turut tidak dinyatakan.
"Bagaimanapun, kami tidak menolak faktor itu. Mungkin juga ada kejutan menanti dalam Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada akhir Oktober ini,” katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.
Ia juga sebagai mengulas pelan RMK12 bagi tempoh 2021-2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada pagi Isnin.
Nazmi turut menyifatkan RMK12 tersebut sebagai ‘mencari titik keseimbangan wajar antara mengenal pasti kaedah baharu untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa sama memastikan keadaan kewangan kerajaan berkeadaan baik.’
"Atas alasan itu, fokus itu lebih ke arah mempercepatkan aspek Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), mempertingkat ekonomi digital, menaikkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta tumpuan lebih ketara terhadap tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Menurutnya, impak RMK12 ke atas unjuran ekonomi 2022 adalah ‘neutral’ namun dalam jangka panjang, prospek pertumbuhan itu dapat dipertingkat susulan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi dan berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan pelaburan yang lebih kukuh.
"Bagi 2021, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK itu pada 5.4 peratus manakala bagi 2020 unjurannya 5.5 peratus dengan risiko lebih cenderung untuk meningkat,” katanya.
Nazmi turut melihat RMK12 sebagai paparan hala tuju lebih jelas mengenai dasar fiskal bagi lima tahun akan datang.
Beliau berkata, kerajaan juga telah menetapkan sasaran RMK12 yang lebih pragmatik berbanding matlamat RMK-11 yang lebih menyasarkan impian tinggi.
Menurutnya, menerusi RMK12, usaha menangani kekurangan inovasi komersial dan produktiviti rendah telah digariskan menerusi peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih besar.
"Pelan induk itu menumpukan aspek pembangunan industri strategik termasuk elektrikal dan elektronik, perkhidmatan global dan aeroangkasa,” katanya. - Bernama