PENGENDALI Sri Pahang FC, Dollah Salleh mengakui kecewa dengan jentera serangannya selepas dikecewakan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kekalahan 1-3 dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia pada Ahad.
Menurut Dollah, beliau tidak dapat mencari alasan tepat mengapa barisan penyerangnya begitu tumpul berbeza dengan aksi yang ditunjukkan dalam sesi latihan.
"Saya tak jangka malam ini kami main serba tak menjadi di bahagian serangan sebab dalam latihan dua minggu lepas, permainan mereka agak berbeza. Tetapi bila dalam perlawanan, kami tak dapat nak buktikan. Jadi, itu yang saya kecewa sangat.
"Pada awal permainan, kami dapat satu peluang dan sebenarnya jika dapat jaringkan gol itu mungkin dapat suntik semangat pemain. Apabila gagal, mungkin daripada situ kekecewaan semua pemain sebab terlepas peluang itu.
"Kami nak cipta peluang sangat sukar tapi apabila dapat kami tak boleh manfaatkan. Kami juga melepaskan gol mudah daripada gol pertama sehingga gol ketiga,” katanya dalam sidang media.
Pengendali KL City, Bojan Hodak pula nyata lega dengan kemenangan tersebut selepas pasukannya berehat panjang untuk menghadapi Piala Malaysia.
"Apa yang penting keputusan perlawanan. Kami semua tahu perlawanan pertama selepas berehat panjang adalah sangat sukar dengan Pahang juga bermain dengan baik.
"Namun, pemain menggunakan peluang di depan gol dengan baik dan kami memperoleh tiga mata berharga. Saya mahu pemain mengekalkan aksi konsisten ini,” ujarnya.