BANGKOK - Ribut tropika 'Dianmu' yang membadai utara dan timur laut Thailand mengakibatkan banjir di 27 wilayah di Thailand dan menjejaskan sekitar 59,000 keluarga.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand melaporkan ribut tropika itu menyebabkan banjir kilat di Ayutthaya, Chaiyaphum, Nakhon Ratchasima, Chiang Mai, Lamphun, Lampang, Buriram, Tak, Sukhothai dan Nakhon Pathom.
Ketua Pengarahnya, Boontham Lertsukekasem berkata, kawasan di 12 wilayah di sepanjang Lembah Sungai Chao Phraya termasuk Bangkok, Sing Buri, Pathum Thani, Nonthaburi, Samut Prakan dan Samut Sakhon mungkin menyaksikan lebih banyak kejadian banjir berikutan lebih banyak air akan dilepaskan dari empangan Chao Phraya.
Beliau berkata, paras air empangan akan meningkat 0.3 meter hingga satu meter dalam beberapa hari lagi.
Sementara itu, Chaiyaphum di timur laut Thailand turut dilanda banjir kilat.
Gabenornya Wichian Chantaranothai berkata, ia adalah banjir terburuk berlaku dalam tempoh 50 tahun kerana 14 daripada 16 daerahnya digenangi air.
Bangkok Post melaporkan di Hospital Chaiyaphum, guni pasir digunakan sebagai benteng penahan banjir dan pam dipasang bagi mengalirkan air bagi memastiikan kawasan hospital kering. Anggota tentera turut ditugaskan membantu penduduk setempat.
Di Ayutthaya, pihak berkuasa telah membina benteng di beberapa lokasi arkeologi di sepanjang tebing sungai Chao Phraya dan Lop Buri.
Jabatan Seni Halus memaklumkan pihaknya juga sudah membina benteng di Wat Chai Wattanaram, Wat Dhammaram, Wat Kasatrathirajvoravihara dan Wat Choeng Tha, serta sebuah perkampungan Belanda yang dibina pada zaman Ayutthaya, Baan Hollanda.
Pada Ahad, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan beberapa menteri kabinet melawat dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Sri Samrong di Sukhothai, antara kawasan paling teruk dilanda ribut tropika 'Dianmu'. - Bernama