SHAH ALAM - Kehadiran golongan pengemis termasuk dalam kalangan kanak-kanak mula kelihatan di sekitar bandar raya ini setelah lama 'menghilangkan diri'.
Peralihan Selangor kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara pada awal bulan ini juga seolah-olah membuka peluang kepada mereka untuk keluar meraih simpati orang ramai.
Tinjauan Sinar Harian di persimpangan lampu isyarat Seksyen 7 di sini mendapati, golongan itu akan memulakan aktiviti mereka pada waktu tertentu terutamanya pada waktu petang.
Selain persimpangan lampu isyarat, kawasan tumpuan awam seperti bank turut menjadi sasaran mereka sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada sesetengah pihak.
Seorang pemuda, Mohamed Raffi, 35, berkata, mereka hadir dalam kumpulan kecil dan berlegar-legar di persimpangan lampu isyarat sebelum ke kedai-kedai makan berdekatan untuk meminta sedekah.
Menurutnya, kumpulan pengemis ini termasuk kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) dipercayai bukan warga tempatan sebaliknya warga asing yang berasal dari Myanmar.
"Apa yang dipersoalkan, apakah mereka ini datang atas usaha sendiri atau didalangi oleh individu tertentu kerana yang mengemis ini adalah orang yang sama.
"Apa yang saya nampak mereka ini akan datang pada waktu petang dan berlegar di Seksyen 7 sehingga malam sebelum menghilangkan diri," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pemuda terbabit berkata, mungkin pendapatan lumayan antara faktor mendorong mereka memilih untuk meminta sedekah di kawasan yang sesak dengan orang ramai itu.
Dalam pada itu, Sinar Harian juga sempat bertanya kepada seorang kanak-kanak lelaki yang meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat di Seksyen 7 mengenai pendapatannya setiap hari.
Paling sedikit, kata kanak-kanak terbabit dia mampu mendapat sekurang-kurangnya RM50 dalam tempoh beberapa jam namun segera beredar selepas mengetahui gambarnya mahu dirakam.
Sementara itu, seorang pekerja kilang, Sayuti Ibrahim, 45, di Seksyen 15, pula berkata, kumpulan pengemis di kawasan berkenaan juga bukan warganegara, sama keadaannya seperti di Seksyen 7.
Sayuti berkata, peminta sedekah ini tetap datang meminta sedekah dengan pelanggan yang makan kedai-kedai makan di situ walaupun mereka pernah dilihat ditahan oleh pihak berkuasa sebelum ini.