SEREMBAN - Pasar Tani Agro Pelancongan akan diwujudkan di Tapak Medan Gerai Buah-buahan Segar di Batu 4 Port Dickson awal tahun depan bagi merancakkan sektor ekonomi di Negeri Sembilan.
Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, ia akan melibatkan 30 usahawan tani termasuk penjualan kraftangan dan produk-produk makanan.
"Ketika ini ia dalam peringkat kajian, selepas Negeri Sembilan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kita sudah mula mengadakan program Myrakyat secara mingguan di situ.
"Usaha ini bagi melihat sama ada inisiatif ini mendapat sambutan daripada pengunjung ataupun sebaliknya sebelum Pasar Tani Agro Pelancongan dilaksanakan sepenuhnya awal tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Program Walkabout ke Pasar Tani Ampangan sempena ulang tahun tahun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke-56 tahun pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Ahmad dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Asmizal Jaafar.
Jelasnya, program jualan ini sudah tentu akan merancakkan lagi sektor perniagaan pertanian sekali gus mempromosikan barangan usahawan tani kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Bakri berkata, jumlah usahawan pasar tani di seluruh negeri ini melibatkan 553 orang dengan mencatat nilai jualan keseluruhan bermula awal tahun sehingga Ogos lepas kira-kira RM7.9 juta.
"Pada tahun ini sahaja, FAMA Negeri Sembilan telah menaik taraf empat buah pasar tani di negeri ini yang merangkumi pembangunan imej pasar tani termasuk mengecat semua lot dan penukaran papan tanda," katanya.
Jelasnya, sebanyak 16 pasar tani yang aktif akan dibuka sepenuhnya menjelang minggu depan.
Pasar Tani Ampangan yang dibuka pada 3 Disember 1985 adalah pasar tani pertama ditubuhkan di negeri ini selain pasar tani terawal yang diwujudkan di negara.