SHAH ALAM - Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disaran untuk memfokuskan kepada kelangsungan hidup rakyat berbanding memberi gambaran tidak tepat keadaan sebenar yang berlaku dalam negara.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Aizuddin Ariffin berkata demikian bagi mengulas mengenai purata pendapatan isi rumah yang dianggarkan sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.
Jelas beliau, keadaan sebenar pendapatan purata isi rumah pada 2021 terus merosot dengan kadar peratusan adalah 10 peratus menyusut bagi pendapatan purata isi rumah pada 2020.
"Dengan dampak Covid-19, saya menyarankan agar pentadbiran Ismail Sabri untuk memfokuskan survival rakyat berbanding cuba untuk memberi gambaran tidak tepat keadaan sebenar apa yang berlaku dalam negara.
"Sebagai contoh, kadar kemiskinan terus meningkat.
Dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 isi rumah, berbanding 405,400 isi rumah pada 2019.
"Keadaan menjadi lebih teruk dengan statistik terbaharu apabila lebih 600,000 dalam kalangan M40 telah tergelincir menjadi B40. Lebih merisaukan, trend ini makin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dengan purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025.
Mengulas lanjut, Aizuddin berkata, terdapat pelbagai perkara yang boleh diberi perhatian oleh kerajaan termasuk isu pengangguran mahasiswa, rakyat yang hilang pekerjaan dan isu gaji minimum.
Beliau berpandangan, data purata pendapatan isi rumah tidak lagi boleh menjadi indikator untuk mengukur tahap kesejahteraan ekonomi penduduk.
"Saya melahirkan kebimbangan, jika pendapatan isi rumah ini menjadi ukuran ekonomi, kesenjangan antara yang kaya dan miskin terus melebar jika kerajaan gagal mengurus isu- isu asas rakyat yang mendasar,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Purata pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan, 'mission impossible'?
ARTIKEL BERKAITAN:Tingkat purata pendapatan selari cadangan pengenalan SSM baharu