KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, akur dan membuat permohonan maaf pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa kerana menggunakan perkataan ‘bodoh’ pada sesi Dewan Rakyat minggu lalu.
Beliau bertindak demikian setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengarahkan beliau menarik balik perkataan ‘bodoh’ dan membuat permohonan maaf.
Ia berikutan usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual untuk merujuk Bung kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan kenyataan kurang sopan, tidak benar, berbaur fitnah, bersangka jahat dan mengelirukan Dewan terhadap kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada Selasa minggu lalu.
"Saya pun tidak tahu, saya sedang berhujah, tiba-tiba satu orang yang tangkap naik tanpa berdiri (mencelah), siapa yang makan lada dia rasa pedas.
"Walaubagaimanapun untuk menghormati dewan yang mulia ini saya tarik balik, saya akur dan mohon maaf kepada Dewan yang mulia ini,” katanya.
Susulan ucapan Bung berkenaan, Dewan Rakyat menerima permohonan maaf tersebut.
Dalam pada itu, Azhar berkata, beliau akan memberi jawapan kepada Noorita mengenai usul tuduhan Bung terhadap kerajaan PH yang memotong peruntukan bagi projek Pan Borneo.
"Saya telah melihat jawapan Menteri Kerja Raya mengenai isu sama, saya akan jawab kepada Tenom,”katanya.
Rabu lalu, Noorita menerusi surat usul kepada Azhar menyatakan,
"Ahli Parlimen Kinabatangan telah pada hari Selasa, 22 September 2021 dalam Dewan membuat kenyataan berikut:
"...sebab jalan rayanya tidak teratur, tidak tersusun, sebab itu, waktu Barisan Nasional memberi projek Pan Borneo, dan peruntukan ada, Pakatan Harapan naik, potong, ini masalah. Di Sarawak, dia tak potong pulak. Orang bodoh saja minta bukti, kalau Yang Berhormat bodoh, Yang Berhormat bodohlah. Tanya bukti, itu orang bodoh, Yang Dipertua. Kalau nak jadi Yang Berhormat di sini, jangan jadi bodoh. Be a wise man...projek Pan Borneo di Sabah sudah tidak ada peruntukan.
"Kenyataan Bung jelas bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat 36(4), 36(6) dan 36(12),”katanya pada sidang media di bilik media Parlimen pada Rabu.
Usul berkenaan turut disokong oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.